ACARA tahunan MSF Merdeka Race 2025 sekali lagi menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) dengan perlumbaan penuh aksi dari 30 Ogos hingga 1 September 2025.
Ribuan peminat sukan permotoran membanjiri litar bagi menyaksikan perlumbaan endurance yang terdiri daripada motosikal dan kereta bermula dari tujuh pusingan hingga 111 pusingan perlumbaan.
Sorotan Utama Malaysia Festival Speed
Perlumbaan endurance 111 pusingan bagi MSF Merdeka Race dijuarai oleh pasukan 55Twelve Racing yang dipandu oleh Mohamed Hafez / Faidzil Alang (100) dengan catatan masa 5:15:04:906.
Rekod terpantas mereka adalah pada pusingan kedua; 2:30:677 dengan kelajuan purata 117kmj. Pasukan ini juga merupakan satu-satunya yang berjaya menamatkan perlumbaan penuh yang sangat mencabar itu dengan menggunakan Toyota GR Yaris.
Pemenang Petak Kedua
Petak kedua dimenangi oleh Foo Yung & Freddie Ang dengan menggunakan Suzuki Swift Sport. Namun mereka berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 109 pusingan sahaja dengan purata kelajuan 115kmj. Masih lagi pencapaian yang membanggakan.
Manakala untuk penutup podium dimenangi oleh Seth Gilmore dan Cooper Webster dengan menggunakan Toyota GT86 bersama catatan masa 5:17:35.963.
American V-Twin Cup
Kategori MotoMSF American V-Twin Cup by Prodigy Racecraft menyaksikan persaingan jentera Harley-Davidson yang gagah. Mohamad Alsyakirin Ahmad Sabri tampil dominan dengan kemenangan petak pertama selepas menamatkan 7 pusingan dalam masa 18 minit 34.376 saat, mencatatkan purata kelajuan 125.34 km/j. Lebih menarik, beliau juga mencatatkan masa terpantas 2:35.332 pada pusingan kedua.
Naib juara dimiliki Muhammad Naqid Mustafa dengan Harley-Davidson XL883C, manakala tempat ketiga diraih Mohammad Aizzad Ab Rashid (Harley-Davidson XL1200). Walaupun beberapa pelumba tidak menamatkan perlumbaan, sorakan penonton tetap membakar semangat mereka di litar.
SuperBikes 33 Laps Endurance
Kategori MotoMSF SuperBikes – 33 Laps Endurance menyaksikan aksi mendebarkan apabila pasukan FGRT Project One yang diketuai Mohd Fahmi Abdul Wahaf dan Jeremy Yu muncul juara. Mereka menamatkan 33 pusingan dengan catatan masa 1 jam 27 minit 18.736 saat.
Lebih manis, Ducati Panigale V4 mereka turut merekodkan pusingan terpantas pada lap ke-8 dengan catatan masa 2:17.384. Saingan sengit hadir daripada pasukan Niezak Motogear United Oil (BMW S1000RR) yang berada di tempat kedua, manakala kedudukan ketiga kembali dirampas pasukan FGRT Project One dengan jentera Ducati lain.
Namun, perlumbaan ini turut dipenuhi drama apabila beberapa pasukan dikenakan penalti kerana melanggar peraturan teknikal, termasuk pit stop terlalu singkat dan had stint yang melebihi syarat.
Saga Cup & Myvi Cup 75 Endurance
Perlumbaan MSF Saga Cup & Myvi Cup 75 Endurance menjadi tumpuan kerana menampilkan kereta rakyat Malaysia seperti Proton Saga, Iswara dan Perodua Myvi. Perlumbaan ini bermula dengan 51 kereta, namun hanya 38 berjaya menamatkan cabaran.
Kemenangan keseluruhan dimiliki Tan Chaw Wei (Proton Saga) dengan masa 1 jam 20 minit 39.534 saat. Tempat kedua diraih Choo Yong Choon juga dengan Proton Saga, manakala podium ketiga milik pasangan Mohd Yuszaidi / Afizul Azha dari pasukan AK Boss Motorsport dengan Perodua Myvi.
Menariknya, pasangan Myvi itu turut mencatat masa terpantas dalam kelas mereka dengan 2:45.446 pada pusingan kedua, membuktikan kehebatan hatchback popular tersebut di litar.
MSF Merdeka Race 2025 sekali lagi membuktikan keunikan sukan permotoran tempatan dengan gabungan motosikal berkuasa besar dan kereta rakyat Malaysia. Dari Harley-Davidson yang berkuasa, Ducati Panigale yang pantas hinggalah Proton Saga dan Perodua
Myvi yang dekat di hati rakyat, acara ini bukan sahaja meraikan kepantasan tetapi juga semangat Merdeka.
Acara ini terus menjadi platform terbaik bagi bakat tempatan menonjolkan kebolehan serta memberi peluang peminat permotoran merasai kehangatan perlumbaan endurance di tanah air.
Leave a Reply