LELAKI yang tular kerana menghentak pemandu kereta menggunakan helmet pada 27 Mac lalu didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Jumaat lalu.
Majistret N Sivashangari menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Muhammad Ariff Izzat Shahrudin, 27, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Tertuduh didapati memukul mangsa, Yusri Omar, 52, di Jalan Utama Cheng hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Muhammad Ariff dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Mahkamah kemudian memutuskan mendenda tertuduh sebanyak RM3,500, dengan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Selain itu, Muhammad Ariff dan Yusri turut didenda RM800 atau dua bulan penjara setiap seorang selepas mengaku bersalah atas kesalahan melakukan gaduh gempar di tempat sama.
Muhammad Ariff yang tidak diwakili peguam memohon supaya hukuman diringankan dengan alasan beliau perlu menyara isteri, nenek, dan perniagaannya yang mengalami masalah kewangan.
Yusri pula menyatakan beliau tidak bekerja sejak lebih setahun dan perlu menyara empat anaknya yang masih bersekolah.
Pegawai Pendakwa, Inspektor T Veramuthu, memohon supaya hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira insiden pergaduhan tersebut sudah menjadi tumpuan di media sosial.
Berdasarkan fakta kes, insiden pergaduhan itu tular di Facebook dan dilaporkan pegawai polis yang menyaksikan kejadian tersebut, hingga menyebabkan laporan dibuat untuk siasatan lanjut.
Insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di jalan taman, di mana warga emas Yusri menekan brek secara mendadak ketika memandu, yang menimbulkan kemarahan Muhammad Ariff yang menunggang motosikal.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply