Automobili Lamborghini telah mengakhiri separuh pertama tahun 2025 dengan prestasi kewangan yang mantap, sekali gus mempamerkan daya tahan syarikat dalam persekitaran geopolitik dan ekonomi yang kompleks.
Perolehan syarikat mencecah €1.62 bilion (RM7.93 bilion), sejajar dengan tempoh yang sama tahun lalu.
Sementara itu, keuntungan operasi mencapai €431 juta (RM2.11 bilion), sedikit menurun terutamanya disebabkan oleh trend kadar pertukaran yang tidak menguntungkan pada suku terakhir.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Automobili Lamborghini turut mencapai pencapaian baharu apabila 5,681 unit kenderaan berjaya dihantar.
Ini merupakan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan untuk separuh pertama, menandakan peningkatan sebanyak 2% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024.
Strategi Hibrid Membuahkan Hasil
Stephan Winkelmann, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Automobili Lamborghini, menyatakan bahawa keputusan dari enam bulan pertama 2025 adalah kukuh meskipun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi dan politik global.
Beliau menegaskan bahawa keputusan untuk menghibridkan seluruh rangkaian model adalah tepat. Kejayaan model Revuelto dan Urus SE membuktikan bahawa visi syarikat ini diterima baik oleh pelanggan.
Kini, syarikat menantikan pelancaran pasaran Temerario, yang akan melengkapkan barisan model hibrid sepenuhnya yang pertama dalam segmennya.
Keuntungan syarikat yang berpusat di Sant'Agata Bolognese ini kekal kukuh pada 26.6%. Ini mengukuhkan laluan pertumbuhan mampan yang telah dibina sejak beberapa tahun kebelakangan ini, serta penciptaan nilai untuk semua pihak berkepentingan, walaupun dalam fasa pembaharuan barisan produk yang menyeluruh.
Paolo Poma, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Kewangan Automobili Lamborghini, mengulas bahawa dalam konteks makroekonomi dan geopolitik semasa, prestasi kewangan dan perniagaan separuh pertama 2025 menunjukkan daya tahan yang telah dibina syarikat selama bertahun-tahun. Ini juga sekali lagi mengesahkan kedudukan jenama Lamborghini sebagai antara pemain utama dalam sektor mewah.
Dari segi taburan penghantaran mengikut wilayah:
- EMEA (Eropah, Timur Tengah, dan Afrika) mendahului dengan 2,708 unit.
- Diikuti oleh Amerika dengan 1,732 unit.
- Dan APAC (Asia Pasifik) dengan 1,241 unit.
Barisan Model Hibrid Memacu Inovasi
Keputusan yang dicapai pada separuh pertama 2025 mengesahkan keberkesanan visi Automobili Lamborghini, yang digariskan dalam strategi Direzione Cor Tauri.
Pengenalan barisan model hibrid sepenuhnya menandakan langkah penting dalam evolusi Lamborghini, dan diterima dengan baik oleh pasaran.
Sumbangan besar kepada kejayaan ini datang daripada model:
- Urus SE
- Revuelto
Revuelto, Kenderaan Elektrik Berprestasi Tinggi (HPEV) pertama Lamborghini, menonjol dengan seni bina teknikal revolusioner, reka bentuk canggih, aerodinamik kecekapan maksimum dan konsep casis gentian karbon baharu.
Kuasa 1,015 hp dihasilkan daripada gabungan enjin V12, tiga motor elektrik, dan kotak gear dwi-klac dan yang pertama untuk Lamborghini dengan 12 silinder.
Urus SE, versi hibrid plug-in bagi Super SUV Urus dilengkapi rangkaian kuasa hibrid 800 hp. Sementara itu penghantaran pertama Temerario dijangka pada awal tahun depan dan model ini menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam evolusi Lamborghini.
Leave a Reply