BERMULA 1 Ogos ini, kutipan bayaran parkir di empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan diuruskan syarikat konsesi baharu dilantik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd.
Senarai empat PBT terlibat dalam fasa pertama pelaksanaan ialah:
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
- Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)
- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
- Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
Hasil Kutipan Parkir Dijangka Meningkat

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, sistem kutipan parkir sedia ada hanya mengutip sekitar 30 peratus daripada lebih 1,000 petak disediakan.
Melalui pelaksanaan konsesi baharu ini, Kerajaan Negeri mensasarkan peningkatan kutipan melebihi 60 peratus.
Syarikat konsesi akan mengambil alih kutipan dan penguatkuasaan bayaran parkir. Mereka akan dipantau secara ketat PBT dan Kerajaan Negeri."
Pembahagian Hasil Kutipan Parkir
Daripada jumlah kutipan diperoleh, pembahagiannya adalah seperti berikut:
- 50 peratus untuk syarikat konsesi
- 40 peratus untuk PBT
- 10 peratus untuk MBI Selangor
Isu Tender Tertutup? Bukan!
Menjawab dakwaan kononnya pelantikan dilakukan secara rundingan terus, Suee Lim menafikan sekerasnya dan menjelaskan pelantikan dibuat secara profesional melalui proses permintaan untuk cadangan (RFP).
Sebanyak 26 syarikat menyatakan minat untuk sektor ini dan akhirnya tiga syarikat disenarai pendek sebelum pemilihan dibuat."
Beliau turut menjelaskan syarat ketat dikenakan ke atas konsesi dan pembatalan kontrak boleh dilakukan bila-bila masa jika gagal memenuhi prestasi ditetapkan walaupun tempoh kontrak diberikan selama 10 tahun.
Tiada Kenaikan Caj Parkir
Pada masa sama, Suee Lim memberi jaminan tiada kenaikan kadar parkir dikenakan kepada pengguna jalan raya.
Caj parkir di Selangor masih kekal berpatutan antara 40 sen hingga 60 sen sejam, bergantung kawasan."
Fokus Utama: Kurangkan Parkir Bertindih
Langkah ini juga diambil untuk menangani masalah parkir berlapis dan kesesakan kawasan komersial, terutama di pusat bandar yang sering mengalami isu kekurangan petak parkir.
SUMBER: AstroAwani
Leave a Reply