
KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) mewajibkan semua syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya melantik juruaudit luar sebagai syarat baharu konsesi, bagi memastikan mutu kerja penyelenggaraan berada pada tahap terbaik dan mematuhi piawaian ditetapkan.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan syarat baharu itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat, dengan tempoh interim setahun bagi menilai keberkesanan pendekatan tersebut.
Tingkat Ketelusan, Semak Imbang
Menurut beliau, pelantikan juruaudit luar adalah langkah penambahbaikan penting bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya dilaksanakan secara telus dan berkualiti.
Kita mensyaratkan pelantikan juruaudit luar itu bagi memastikan sama ada mutu kerja penyelenggaraan jalan raya berada pada tahap terbaik.
“Kita tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada laporan dalaman seperti sebelum ini. Ini adalah penambahbaikan bagi memastikan kualiti jalan raya kita setanding standard antarabangsa,” katanya.
Penilaian Semula Konsesi Penyelenggaraan
Alexander menjelaskan, sepanjang tempoh interim itu, KKR juga akan menilai semula prestasi syarikat konsesi sedia ada, termasuk membuat keputusan sama ada kontrak disambung atau syarikat baharu dilantik.
Kita melihat keperluan melantik juruaudit luar sebagai mekanisme semak dan imbang, supaya keputusan yang dibuat lebih adil dan berasaskan prestasi sebenar,” katanya.
SUMBER: SinarHarian




