NESTLE mengumumkan pelancaran musim penuh pertama KitKat sebagai rakan coklat rasmi Formula Satu (F1) musim 2026, sekali gus menandakan langkah strategik penting jenama itu dalam memperkukuh platform pertumbuhan global.
Kerjasama rasmi tersebut bakal menyaksikan KitKat tampil di 12 perlumbaan F1 merentasi pasaran utama Nestle sepanjang musim 2026, bermula Grand Prix (GP) Australia yang dijadualkan berlangsung 6 hingga 8 Mac 2026.
Pengalaman Peminat Lebih Imersif
Kerjasama antara KitKat dan F1 bukan sekadar kehadiran jenama di litar perlumbaan, sebaliknya menawarkan pengalaman peminat yang lebih menyeluruh dan imersif.
Antara inisiatif dirancang adalah:
- Penglibatan aktif di media sosial
- Barangan eksklusif
- Aktiviti promosi di kedai runcit
- Peraduan berhadiah
- Produk edisi terhad
Selain itu, KitKat juga akan muncul dalam kandungan ‘Drive to Survive‘ di beberapa pasaran terpilih menerusi pengiklanan bersasar di Netflix, selain aktiviti digital bagi menarik minat peminat muda yang semakin mendominasi komuniti F1 global.
Inovasi Produk Tema F1
Bagi mengukuhkan lagi kerjasama itu, KitKat turut memperkenalkan coklat acuan bentuk kereta F1, yang pertama seumpamanya dihasilkan Nestle.
Produk inovatif itu menampilkan coklat susu dengan gabungan bijirin rangup dan wafer, yang dibangunkan menggunakan kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) Nestle serta dihasilkan di kilang Nestle San Sisto, Itali.
Coklat edisi terhad itu akan mula dijual bermula Januari 2026, menerusi pelancaran awal di Australia dan beberapa negara Eropah seperti Britain, Perancis, Itali, Austria dan Switzerland, sebelum diperluas ke pasaran KitKat lain selari kalendar F1.
KitKat itu ditawarkan dalam dua saiz, iaitu:
- 29 gram untuk penggunaan individu
- 11 gram untuk perkongsian
KitKat Chunky Versi F1
Selain itu, KitKat Chunky F1 turut akan diperkenalkan di pasaran Eropah.
Produk baharu tersebut dibangunkan menggunakan teknologi proprietari Nestle, menampilkan kesan marmar unik yang diilhamkan daripada kelajuan dan dinamik jenter F1.
Rekaan tersebut memenuhi permintaan pengguna terhadap pengalaman multisensory, dan produk tambahan dijangka diperkenalkan berperingkat sepanjang tempoh kerjasama berkenaan.
Komitmen Jangka Panjang Jenama Ikonik
Ketua Unit Perniagaan Strategik Konfeksi Nestle, Liberato Milo berkata, kerjasama dengan F1 mencerminkan komitmen Nestle untuk melabur skala besar dalam jenama ikoniknya.
Dengan menggabungkan inovasi produk dan penglibatan pengguna yang kukuh, kami membezakan KitKat berbanding pesaing.
“Kami teruja membawa mesej ‘Have a Break, Have a KitKat’ kepada peminat F1 seluruh dunia,” katanya.
Sambutan Positif Sejak Pelancaran Awal
Sebagai rekod, kerjasama KitKat dan F1 mula diperkenalkan pada musim 2025 sempena ulang tahun KitKat ke-90 dan ulang tahun F1 ke-75, dengan pelancaran awal di Mexico dan Brazil, sebelum disusuli Ecuador.
Dapatan awal menunjukkan kerjasama itu berjaya mengukuhkan imej KitKat sebagai jenama global moden, selain merapatkan hubungan dengan komuniti peminat F1 yang berkembang pesat seluruh dunia.
SUMBER: Nestle









