
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menyita sebuah Lamborghini Aventador selepas dikesan melakukan beberapa kesalahan jalan raya dalam operasi khas Ops Luxury yang sedang dijalankan.
JPJ Selangor mendakwa supercar dengan enjin 6.5L V12 itu menggunakan cukai jalan tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi JPJ. Kenderaan tersebut kini ditahan di depot JPJ Shah Alam sementara menunggu tindakan lanjut.
Lebih 900 Kenderaan Mewah Disita
Sejak Ops Luxury dilancarkan Julai tahun lalu, sebanyak 915 kenderaan mewah disita yang kebanyakan dikesan tidak memiliki cukai jalan sah.
Jumlah itu dipercayai meningkat selepas laporan terakhir dibuat Disember lalu,berikutan beberapa tangkapan baharu dikongsi JPJ Negeri di media sosial.
Dalam kenyataan di Facebook, JPJ Selangor memaklumkan akan terus memantau aduan orang ramai bagi memastikan semua kenderaan mematuhi undang‑undang jalan raya.
JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.” kata kenyataan itu.
Orang awam boleh menyalurkan sebarang aduan kesalahan lalulintas kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan.









