JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lagi mengeluarkan slip bercetak Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan (roadtax) bagi kenderaan persendirian milik warganegara Malaysia, berkuat kuasa 1 Februari 2026.
Langkah itu selaras usaha berterusan Kerajaan dalam memperluas pendigitalan perkhidmatan pengangkutan, termasuk penggunaan cukai jalan dan lesen memandu dalam bentuk digital.
Perlu Slip Fizikal? Ini Pilihan Anda
Bagi yang masih memerlukan slip roadtax fizikal, pemilik kenderaan dinasihatkan memperbaharui cukai jalan dan insurans motor di pejabat pos berhampiran sebelum tarikh pelaksanaan, iaitu sebelum 1 Februari 2026.
Urusan pembaharuan melalui Pos Malaysia masih membolehkan pengguna mendapatkan slip fizikal seperti biasa.
Ke Arah Pendigitalan Penuh
JPJ sebelum ini sudah memperkenalkan penggunaan LKM digital yang boleh diakses melalui aplikasi MyJPJ, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dokumen bercetak dan memudahkan urusan pemilik kenderaan.
Orang ramai digalakkan beralih kepada kaedah digital untuk pengalaman lebih pantas, mudah dan selamat.
SUMBER: FBPosMalaysiaBerhad







