JENTERA Ferrari dipandu legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher yang memenangi kejuaraan Grand Prix (GP) Monaco 2001 dilelong pada harga €15.98 juta (RM76.8 juta) dalam satu acara lelongan berprestij di luar acara GP tersebut.
Bidaan awal jentera itu dibuka pada harga €8 juta (RM 38 juta) dan menarik minat pembeli di kawasan VIP litar lumba itu sebelum akhirnya dibeli seorang tetamu yang turut menyaksikan pelumba Britain, Lando Norris menjuarai perlumbaan GP Monaco, Ahad lalu.
Jentera Juara GP Monaco 2001
Jentera Ferrari itu pernah membawa Schumacher meraih kemenangan di GP Monaco pada 2001 dalam misi mencapai gelaran juara dunia ketujuh.
Rumah lelongan, RM Sotheby's yang mengendalikan lelongan itu mengesahkan harga dicapai adalah antara tertinggi pernah dicatatkan bagi sebuah jentera F1 Ferrari.
Malah, The New York Times (NYT) melaporkan, itu rekod baharu bagi kategori jentera F1 Ferrari yang pernah dilelong.
Rekod Masih Dipegang Mercedes W196
Bagaimanapun, rekod keseluruhan harga tertinggi lelongan jentera lumba F1 masih dipegang Mercedes W196 yang dipandu Juan Manuel Fangio dan Stirling Moss era 1950-an pada harga lelongan AS$52 juta (RM220 juta).
Schumacher bersara dari F1 akhir musim 2006 sebelum kembali bersama Mercedes pada 2010 dan menamatkan karier secara rasmi pada 2012.
SUMBER: NYTimes
Leave a Reply