HYUNDAI Motor Group (Hyundai) mengumumkan penambahan pelaburan besar di Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah keseluruhan AS$26 bilion (RM109.6 bilion) yang menekankan komitmen jangka panjang terhadap inovasi, penciptaan pekerjaan, dan pertumbuhan mampan.
Pelaburan tersebut akan dilaksanakan antara 2025 dan 2028, sekali gus meluaskan kehadiran Hyundai di pasaran AS.
Komitmen baharu itu melibatkan pelaburan tambahan AS$5 bilion (RM21.1 bilion), melebihi peruntukan asal AS$21 bilion (RM88.5 bilion) yang diumumkan pada Mac 2025. Peruntukan tersebut bertujuan memacu inisiatif strategik Hyundai dalam industri automotif, keluli, dan robotik.
Antara inisiatif utama digariskan adalah pembinaan kilang keluli baharu di Louisiana untuk menyokong industri strategik AS, termasuk pembuatan automotif yang akan mengukuhkan rantaian bekalan dan daya tahan industri tempatan.

Selain itu, Hyundai Motor Company dan Kia Corporation akan memperluas kapasiti pengeluaran kenderaan di AS yang akan meningkatkan keupayaan Hyundai untuk memenuhi keperluan pengguna Amerika dengan lebih pantas dan cekap.
Dalam bidang robotik, Hyundai akan membina hab inovasi canggih dengan kapasiti tahunan 30,000 unit.

Fasiliti itu akan menjadi pusat kepada rekabentuk, pembuatan, pengujian, dan penggunaan robotik di AS. yang akan meletakkan Hyundai di barisan depan ekosistem robotik global.Melalui pelaburan itu, Hyundai menjangka dapat mencipta kira-kira 25,000 pekerjaan langsung baharu di AS dalam tempoh empat tahun akan datang.
Selain itu, Hyundai juga mempercepat pengkomersialan teknologi melalui syarikat gabungan teknologi di AS seperti Boston Dynamics untuk robotik dan Motional untuk pemanduan autonomi.
Hyundai juga memperluas kerjasama dengan syarikat terkemuka AS dalam teknologi masa depan, seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, dan pemanduan autonomi.
Sejak kemasukan Hyundai ke pasaran AS pada 1986, Hyundai melabur lebih AS$20.5 bilion (RM86.4 bilion). Pelaburan terkini itu menegaskan komitmen Hyundai terhadap ekonomi AS dan peranan sebagai rakan kongsi dalam memacu inovasi, kemampanan, dan kemakmuran jangka panjang.
Leave a Reply