HYUNDAI Motor Group mengumumkan penambahan pelaburan besar di Amerika Syarikat (A.S), menjadikannya sebanyak AS$26 bilion (RM109.63 bilion).
Peningkatan ini menekankan komitmen jangka panjang Kumpulan terhadap inovasi, penciptaan pekerjaan, dan pertumbuhan yang mampan.
Pelaburan ini akan dilaksanakan antara tahun 2025 dan 2028, sekali gus meluaskan kehadiran Kumpulan dalam pasaran Amerika Syarikat.
Komitmen baharu ini melibatkan pelaburan tambahan sebanyak AS$21 bilion (RM88.46 bilion) yang diumumkan pada Mac 2025.
Peruntukan ini bertujuan memacu inisiatif strategik Kumpulan dalam industri automotif, keluli, dan robotik.
Antara inisiatif utama yang digariskan adalah pembinaan kilang keluli baharu di Louisiana untuk menyokong industri strategik A.S., termasuk pembuatan automotif yang akan mengukuhkan rantaian bekalan dan daya tahan industri tempatan.

Selain itu, Hyundai Motor Company dan Kia Corporation akan memperluas kapasiti pengeluaran kenderaan mereka di A.S. Ini akan meningkatkan keupayaan Kumpulan untuk memenuhi keperluan pengguna Amerika dengan lebih pantas dan cekap.
Dalam bidang robotik, Kumpulan akan membina sebuah hab inovasi canggih dengan kapasiti tahunan sebanyak 30,000 unit.
Fasiliti ini akan menjadi pusat untuk reka bentuk, pembuatan, pengujian, dan penggunaan robotik di A.S., meletakkan Hyundai Motor Group di barisan hadapan ekosistem robotik global.

Melalui pelaburan ini, Hyundai Motor Group menjangka dapat mencipta kira-kira 25,000 pekerjaan langsung baharu di Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun akan datang.
Selain itu, Kumpulan juga mempercepatkan pengkomersialan teknologi melalui syarikat gabungan teknologi mereka di A.S. seperti Boston Dynamics untuk robotik dan Motional untuk pemanduan autonomi.
Kumpulan juga memperluaskan kerjasama dengan syarikat-syarikat terkemuka Amerika dalam teknologi masa depan, termasuk kecerdasan buatan, robotik, dan pemanduan autonomi.
Sejak kemasukan Kumpulan ke pasaran A.S. pada tahun 1986, Hyundai Motor Group telah melabur lebih daripada AS$20.5 bilion (RM86.44 bilion).
Pelaburan terkini ini menegaskan komitmen Kumpulan terhadap ekonomi A.S. dan peranannya sebagai rakan kongsi dalam memacu inovasi, kemampanan, dan kemakmuran jangka panjang.
Leave a Reply