HONG LEONG Yamaha Motor (HLYM) minggu ini rasmi melancarkan motosikal dwi-guna, Yamaha Tenere 700 2026 baharu, yang direka untuk penunggang jarak jauh, sama ada untuk mengembara atau off-road.
Pelancaran hadir tepat pada masa ketika trend motosikal kuasa tinggi, khususnya dalam segmen advencer middleweight terus menunjukkan pertumbuhan positif di Malaysia.
Dengan semakin ramai penunggang memilih aktiviti touring dan kembara rentas sempadan, Yamaha Tenere 700 2026 tampil sebagai pilihan yang cukup relevan.
Segmen Advencer 700cc Semakin Panas
Pengarah Urusan baharu HLYM, Loh Heng Choy berkata, pasaran motosikal kuasa tinggi tempatan terus berkembang kukuh dari 2024 ke 2025, dengan segmen lebih 500cc merekodkan peningkatan memberangsangkan.
Lebih menarik, kategori advencer khas dalam julat pertengahan kini semakin mendapat momentum, selari gaya hidup penunggang yang mahu lebih kebebasan untuk mengembara.
Warna Adventure Blue, Lebih Menyerlah
Bagi model terkini, HLYM memperkenalkan satu pilihan warna eksklusif iaitu Adventure Blue (biru).
Kemasan itu diilhamkan daripada langit tanpa sempadan, yang melambangkan semangat eksplorasi dan kebebasan yang menjadi identiti Tenere.
Antara pembaharuan terbesar adalah pengenalan terotel elektronik Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) buat kali pertama pada enjin CP2.
Sistem itu memberikan respons terotel lebih lancar dan lebih tepat, sekali gus meningkatkan keyakinan ketika menunggang di laluan berliku atau permukaan mencabar.
Dua Mod Tunggang
Penunggang kini boleh memilih dua mod tunggangan iaitu:
- SPORT: Untuk hantaran kuasa lebih agresif
- EXPLORER: Lebih halus dan sesuai untuk perjalanan jauh dan off-road
Pilihan itu menjadikan Yamaha Tenere 700 2026 lebih fleksibel mengikut gaya tunggangan.
Ergonomik, Suspensi Dipertingkat
Dari segi keselesaan, Yamaha menambah baik posisi tunggangan menerusi pelana rata dan peg kaki lebih besar. Sistem suspensi turut dinaik taraf menerusi monoshock jenis pautan (monocross linkage-type) di belakang dan fork terbalik (USD) 43mm boleh laras di depan, yang sesuai untuk tunggangan atas jalan biasa atau lasak.
Lebih fleksibiliti, motosikal itu dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) boleh laras tiga mod bersama Sistem Kawalan Traksi (TCS).
Kedua-dua sistem itu boleh diaktifkan atau dimatikan mengikut kondisi jalan, terutama ketika memasuki laluan off-road.
Kemas Kini Navigasi, Panel Meter TFT
Satu lagi naik taraf besar ialah panel meter TFT 6.3 inci yang kini menyokong konektiviti telefon pintar dan navigasi belok demi belok Turn-by-Turn. Penunggang boleh memilih dua tema paparan iaitu Sport atau Explorer, selain turut menerima port USB Type-C untuk pengecasan peranti.
Bahagian depan kini menggunakan lampu kuad LED baharu yang menawarkan pencahayaan lebih jelas ketika menunggang malam. Suis juga direka semula supaya lebih intuitif, termasuk fungsi signal belok tiga kali dan batal automatik (auto-cancel).
Harga Malaysia

Yamaha Tenere 700 2026 baharu ditawarkan pada harga RM58,998. Dengan pakej teknologi lebih lengkap, ergonomik lebih baik dan imej advencer yang semakin kuat, model itu dilihat sebagai antara pilihan paling menarik dalam segmen advencer middleweight di Malaysia.
















































