HONDA telah mengeluarkan rakaman ujian baharu bagi jentera konsep EV FUN, yang sedang dibangunkan dan diuji di jalan raya Eropah.
Motosikal yang pertama kali dipamerkan di pameran EICMA di Milan pada tahun 2024 ini, merupakan model naked bersaiz sederhana yang menampilkan pek bateri tetap serta keserasian dengan pengecasan pantas CCS2 gred automotif.
Masatsugu Tanaka: Arkitek di Sebalik Pembangunan
Pembangunan motosikal ini diketuai oleh Masatsugu Tanaka, yang tampil sebagai penunggang dalam rakaman tersebut.
Beliau mempunyai kerjaya yang panjang dan cemerlang bersama Honda, dengan pengalaman lebih dua dekad dalam pembangunan motosikal.
Memulakan kerjayanya di Honda sejurus tamat sekolah, Tanaka-san sentiasa berpegang pada cita-cita untuk mencipta motosikal nombor satu di dunia, dan portfolio model yang telah dihasilkannya menjadi bukti keupayaannya.
Di antara tahun 1998 dan 2006, Tanaka-san telah memperhalusi pengendalian model-model seperti CBR600F, CBR600RR, CBR1000RR Fireblade, dan Gold Wing sebagai Ketua Projek Ujian untuk motosikal berkapasiti besar.
Sejak tahun 2006, sebagai Timbalan Ketua Projek Besar, beliau telah menerajui pembangunan model-model popular seperti VFR800F, VFR1200F, VFR1200X CrossTourer, CRF1100L Africa Twin dan NT1100.
Dinamik kerjaya Tanaka-san terus berkembang, sejak tahun 2022 beliau bertanggungjawab dalam pembangunan dan ujian dinamik dalam jabatan elektrifikasi.
Motosikal EV yang seronok
Pemindahan pengetahuan dan pengalaman luas beliau, digabungkan dengan semangat pasukan jurutera muda yang berdedikasi untuk membangunkan motosikal elektrik yang menyeronokkan, memastikan konsep EV FUN memiliki keseimbangan, kestabilan dan faktor keseronokan yang sinonim dengan jenama Honda.
Menurut Tanaka-san, mereka membangunkan model FUN elektrik pertama Honda di bawah konsep utama Be the Wind. Model ini menawarkan tunggangan yang senyap dan lancar, yang merupakan ciri unik model-model EV.
Selain itu, ia juga memberikan rasa kesatuan dengan jentera, yang membolehkan penunggang berasa seperti angin.
Tambah beliau, segala pengalaman selama 20 tahun dengan model motosikal enjin pembakaran dalaman (ICE) Honda telah diaplikasikan pada motosikal EV ini untuk mencipta sebuah model yang benar-benar mengujakan.
Ujian di Eropah, di pasaran tidak lama lagi
Ujian ekstensif telah dijalankan di Eropah, di mana pelanggan utama mereka berada, bagi menilai prestasi tunggangan, pengecasan dan kegunaan harian.
Setiap aspek model diperhalusi dengan teliti untuk memastikan pelanggan mendapat tunggangan yang boleh dipercayai dan membolehkan mereka fokus pada kenikmatan semata-mata.
Tanaka-san mengakhiri kenyataannya dengan memberitahu bahawa model EV FUN Honda baharu akan datang tidak lama lagi, dan mereka tidak sabar untuk orang ramai merasainya.
Melihat kepada gaya, EV FUN mempunyai potensi untuk menjadi sebuah lagi produk hits Honda namun bergantung kepada harga dan jarak pemanduan.
Leave a Reply