PELUMBA muda sensasi, Hakim Danish Ramli menerima kejutan istimewa daripada UMA Racing dan Racing Boy (RCB) apabila menerima hadiah motosikal kesayangan, Yamaha Y15ZR miliknya yang diubah suai aspek kosmetik dan teknikal.
Hadiah itu membuatkan pelumba muda negara itu semakin membara untuk memburu kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (Rookies Cup) 2025.
Pendahulu Rookies Cup 2005 Setakat Ini
Hakim Danish, 18, kini mendahului carta keseluruhan Rookies Cup 2025 dengan 154 mata, dan menyifatkan kejutan hadiah itu sebagai pembakar semangat menjelang dua baki pusingan penting di Eropah.
Perasaan saya memang tak terkata, sangat gembira. Melihat motor ini menjadi baru semula mengimbau kenangan saya bersama ayah, sebab kami memang suka ubah suai motor daripada keadaan buruk jadi baharu," katanya.
Naik Taraf Belasan Ribu Ringgit
Hakim Danish berkata, Y15ZR itu dibeli secara terpakai pada 2023 dengan harga sekitar RM5,000 hasil wang kejayaannya berlumba di pentas perlumbaan.
Kapcai tersebut sarat nilai sentimental kerana sering menjadi tunggangan berulang-alik dari rumahnya di Bukit Changgang di Banting, Selangor ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Projek naik taraf itu menelan belanja ribuan ringgit yang bukan sekadar ubah suai luaran, tetapi turut melibatkan penambahbaikan sistem enjin bagi meningkatkan prestasi ketika sesi latihan.
Sasar Tamatkan Rookies Cup 2025 dengan Cemerlang
Hakim Danish turut bersaing dalam kejuaraan FIM JuniorGP, tetapi fokus utama kekal kepada usaha menamatkan musim dengan cemerlang dalam Rookies Cup 2025.
Setakat ini, dia hanya dibezakan 13 mata daripada pencabar terdekat, Brian Uriarte dari Sepanyol (141 mata), manakala pelumba Indonesia, Veda Pratama di tangga ketiga (130 mata).
Dua baki pusingan RBMRC akan berlangsung di Spielberg, Austria pada 16-17 Ogos ini, dan di Misano, Itali (13-14 September).
Sokongan Industri Tempatan
Penolong Pengurus Besar UMA Racing, Alfred Lim berkata, kejutan itu hasil kerjasama dengan ZK Racing sebagai tanda sokongan kepada perkembangan karier Hakim Danish.
Saya berharap ada lebih banyak kejayaan daripada Hakim Danish selepas ini dan sebab itu kita menjayakan projek ini supaya dia terus bersemangat untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia," katanya.
Dengan sokongan moral dan teknikal yang semakin kukuh, semua mata kini bertumpu kepada Hakim Danish untuk membawa pulang kejayaan dan menaikkan nama negara di persada antarabangsa.
SUMBER: Kosmo!
Leave a Reply