
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita enam kereta mewah dianggarkan bernilai RM1.5 juta atas pelbagai kesalahan serius dalam Ops Khas yang dijalankan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran Karak, hari ini.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, salah satu kereta mewah yang disita dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelakkan tindakan undang-undang.
Nombor Pendaftaran Tidak Sepadan Rekod Sebenar
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran digunakan tidak sepadan dengan rekod sebenar kenderaan, sekali gus menimbulkan syak wujud cubaan mengelak penguatkuasaan.
Hasil siasatan mendapati kenderaan terbabit turut melakukan kesalahan lain seperti tiada cukai jalan dan perlindungan insurans, menjadikan kes ini antara pelanggaran paling serius dikesan sepanjang operasi,” katanya.
Elak Kamera AWAS Jadi Motif Utama
Muhammad Kifli berkata siasatan lanjut mendapati motif utama penggunaan nombor pendaftaran palsu adalah bagi mengelak pengesanan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).
Kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000, selain tindakan undang-undang lain yang berkaitan.
Pelbagai Kesalahan Lain Dikesan
Menurut beliau, baki kereta mewah lain yang disita dalam operasi sama turut melakukan pelbagai kesalahan jalan raya, antaranya:
- Tiada lesen memandu
- Tiada cukai jalan
- Tiada perlindungan insurans
Selain enam kereta mewah berkenaan, JPJ turut menyita:
- 15 kereta
- 8 motosikal berkuasa tinggi
- 102 motosikal bawah 250cc
- Sebuah van
- Sebuah lori
Lebih 1,200 Notis Dikeluarkan
Dalam operasi yang berlangsung dari 6 pagi hingga 1 tengah hari, JPJ mengeluarkan sebanyak 1,203 notis atas pelbagai kesalahan.
Ops Khas itu melibatkan kerjasama JPJ Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat, dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan.
Seramai 183 anggota JPJ digerakkan dengan tumpuan penguatkuasaan di LPT1 melibatkan laluan Gombak hingga Karak.
JPJ Tidak Akan Berkompromi
Dalam pada itu, Muhammad Kifli memberi amaran tegas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan drastik termasuk sitaan kenderaan, sama ada motosikal atau kereta mewah, terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang jalan raya.
SUMBER: AstroAwani




