GAC Malaysia terus mengukuhkan strategi pemasaran jenama dengan melantik aktor dan artis tanah air, Datuk Remy Ishak sebagai Duta Jenama terbaharu.
Remy akan berganding dengan Jack Lim, yang dilantik sejak 2024 di bawah inisiatif ONE GAC untuk mewakili gabungan gaya premium dan kebolehpercayaan harian yang menjadi teras jenama tersebut.
Remy Ishak: Karisma, Profesionalisme untuk GAC Malaysia
Pengumuman rasmi dibuat pada acara GAC & AION Showcase di 1Utama Shopping Centre, ketika GAC Malaysia sedang giat membina reputasi menerusi kehadiran model kenderaan utilisi sukan (SUV) segmen-C pemasangan tempatan (CKD) , GAC Emkoo dan kenderaan pelbagai guna (MPV) versi import sepenuhnya (CBU), GAC M8 PHEV.
Remy (foto atas kanan) mula dikenali menerusi drama fenomena Nur Kasih yang sejak itu menjadi aktor popular di Malaysia yang terkenal dengan personaliti bersahaja, profesionalisme dan hubungan rapat dengan peminat.
Sepanjang kerjaya, beliau pernah mewakili pelbagai jenama besar dan kini membawa pengaruh dalam dunia automotif bersama GAC Malaysia.
Saya sangat teruja menyertai jenama yang bukan saja seiring dengan gaya hidup dan aspirasi pemanduan saya, tetapi juga berani menonjol dengan rekabentuk berani dan teknologi canggih. Saya yakin perjalanan ini akan menjadi pengalaman hebat," kata Remy.
Jack Lim Kekal sebagai Wajah Awal GAC di Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng, memuji sumbangan Jack Lim sejak pelantikan. Jack bukan saja membantu mempromosi dan menjual GAC GS3 Emzoom melalui rangkaian beliau, tetapi pernah ke GAC China untuk melihat sendiri kekuatan inovasi teknologi pengeluar itu.
Jack sudah menjadi penyokong setia GAC sejak awal, dan kini dengan kehadiran Remy, kita membawa dua personaliti berpengaruh yang mencerminkan nilai GAC, rekabentuk berani, inovasi, dan hubungan erat dengan pelanggan," kata Keng Meng.
Pelancaran Awal GAC Emkoo dan M8 PHEV
Acara ini turut menumpukan kempen prajualan dua model utama GAC:
GAC Emkoo (CKD)
- Dijana enjin 1.5TGDI dengan transmisi dual-klac (DCT) 7-kelajuan
- Menampilkan rekabentuk futuristik, dengan ruang dalaman luas dan kapasiti but terbaik dalam kelas
- Harga anggaran:
- Premium bermula RM120,000
- Premium Pro bermula RM130,000
- Waranti:
- Kenderaan 5 tahun, atau 150,000km
- Enjin dan trenkuasa 7 tahun, atau 180,000km
GAC M8 PHEV (CBU)
- Dijana enjin 2.0L Turbo dengan transmisi hibrid 2-tahap
- Gabungan jarak pemanduan terbaik dalam kelas 1,038km
- Harga anggaran:
- Premium bermula RM333,000
- Luxury bermula RM380,000
- Waranti:
- Kenderaan 5 tahun atau 150,000km
- Bateri 8 tahun atau 150,000km
Penyerahan Simbolik, Pratempahan Dibuka
Pada acara itu, Keng Meng turut menyerahkan kunci simbolik GAC Emkoo kepada Remy dan Jack sebagai tanda penghargaan. Kedua-dua personaliti itu akan menjadi antara pemilik terawal model tersebut di Malaysia yang penghantaran pertama dijangka bermula hujung September 2025 atau lebih awal.
Pratempahan sudah dibuka di semua pengedar sah GAC Malaysia. Maklumat lanjut boleh layari www.gacmotor.com.my atau ikuti media sosial rasmi GAC Motor Malaysia untuk info acara jelajah, pameran bilik pameran, pandu uji dan tempahan.
Leave a Reply