
PELUMBA Formula Satu (F1) Mercedes-AMG PETRONAS, Kimi Antonelli, terus mencuri tumpuan dalam musim F1 2026 apabila pelumba muda Mercedes itu meraih kemenangan di Grand Prix Jepun di Litar Suzuka, sekali gus mengambil alih kedudukan pendahulu Kejuaraan Dunia Pemandu. Kemenangan ini juga menyaksikan Antonelli mencipta sejarah sebagai pendahulu kejuaraan termuda dalam sejarah F1, selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut.
Perlumbaan bermula dramatik apabila pelumba pasukan McLaren Mastercard Oscar Piastri melakukan pelancaran yang cukup cemerlang untuk merampas pendahuluan sebaik lampu dipadamkan menuju Selekoh 1. Sementara itu, kedua-dua jentera Mercedes sedikit tercicir di awal saingan sebelum memulakan aksi memotong semula kelompok hadapan. George Russell kemudian cuba memberi tekanan kepada Piastri, namun tidak berjaya mencari ruang untuk memintas.
Safety Car Ubah Corak Perlumbaan

Momentum perlumbaan berubah pada pusingan 22 selepas pelumba TGR Haas F1, Ollie Bearman, terbabit dalam kemalangan besar yang memaksa Safety Car dikeluarkan. Pada ketika itu, Antonelli yang masih belum membuat pit stop berada dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan situasi tersebut.
Mercedes segera memanggil pelumba Itali itu masuk ke pit, dan strategi berkenaan terbukti cukup sempurna apabila Antonelli kembali ke litar di kedudukan pertama. Dari situ, dia melakukan restart yang kemas sebelum mula membuka jurang besar di hadapan.
Antonelli akhirnya melintasi garisan penamat dengan kelebihan 13.722 saat di depan Piastri, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pencabar utama gelaran musim ini.

Piastri, Leclerc Lengkapkan Podium
Oscar Piastri menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk menghadiahkan podium pertama McLaren musim ini, manakala pelumba pasukan Scuderia Ferrari HP, Charles Leclerc berjaya mempertahankan kedudukan ketiga daripada asakan rakan sepasukan Antonelli, George Russell, untuk melengkapkan podium di Suzuka.
Russell terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas sebelum itu meluahkan rasa kecewa terhadap masa kemunculan Safety Car. Rakan sepasukan Piastri, Lando Norris pula menamatkan saingan di tempat kelima selepas pertarungan rapat dengan Lewis Hamilton, dengan pelumba Scuderia Ferrari HP itu mengakhiri perlumbaan di tempat keenam.

Keputusan 10 Terbaik GP Jepun 2026
- Kimi Antonelli (Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team)
- Oscar Piastri (McLaren Mastercard Formula 1 Team)
- Charles Leclerc (Scuderia Ferrari HP)
- George Russell (Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team)
- Lando Norris (McLaren Formula 1 Team)
- Lewis Hamilton (Scuderia Ferrari HP)
- Pierre Gasly (BWT Alpine Formula One Team)
- Max Verstappen (Oracle Red Bull Racing)
- Liam Lawson (Visa Cash App Racing Bulls Formula One Team)
- Esteban Ocon (TGR Haas F1 Team)
Antonelli Kini Pendahulu Kejuaraan
Kemenangan di Jepun melonjakkan Antonelli ke tangga teratas kedudukan pemandu, satu pencapaian luar biasa bagi pelumba muda Itali itu yang baru memasuki musim penuh pertamanya.
“Rasanya memang cukup baik,” kata Antonelli selepas perlumbaan.
“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai kejuaraan, tetapi kami berada di landasan yang betul. Saya bermula dengan agak teruk, tetapi Safety Car membantu saya berada di depan. Selepas itu, pace kereta memang sangat bagus dan saya cukup selesa dengan jentera.”
Seterusnya: GP Miami

Formula 1 kini akan berehat sepanjang April sebelum musim 2026 bersambung di Grand Prix Miami, yang dijadual berlangsung pada hujung minggu 1 hingga 3 Mei.
Dengan momentum kemenangan berturut-turut, semua mata kini pasti tertumpu kepada Antonelli untuk melihat sama ada beliau mampu mengekalkan rentak cemerlang ini dalam perebutan gelaran dunia.
SUMBER: Formula One









