DUCATI terkenal sebagai jenama prestasi tinggi dengan reputasi gah di Kejuaraan Dunia MotoGP dan Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK). Namun model XDiavel V4 2025 membuktikan Ducati juga boleh menghasilkan model cruiser yang santai, selesa dan pada masa sama, sangat berkuasa.
Sebagai evolusi kepada Ducati XDiavel asal yang diperkenalkan pada 2016, versi V4 kali ini tampil dengan pakej lebih moden, lebih responsif dan jauh lebih menyeronokkan untuk ditunggang.
Enjin V4 Granturismo: Kuasa dan Keselesaan
Dijana enjin 1,158cc V4 Granturismo, Ducait XDiavel V4 menghasilkan 166hp @ 10,750rpm dan tork 126Nm @ 7,500rpm. Walaupun angka ini sedikit rendah berbanding Panigale atau Streetfighter, tetapi cukup untuk menggerakkan cruiser seberat hampir 250kg dengan mudah.
Enjin itu menggunakan konfigurasi corak nyalaan tidak sekata (Twin Pulse firing order) yang memberikan karekter tersendiri pada bunyi dan prestasi, terutama pada rev rendah. Tetapan 2-silinder belakang juga akan dinyah aktif automatik ketika lahu untuk menjimatkan bahan api dan mengurangkan haba.
Pakej Ergonomik Ala Chopper
Ducati XDiavel mengekalkan posisi tunggangan ala cruiser dengan platform kaki di depan dan tinggi pelana 770mm, sesuai untuk penunggang pelbagai ketinggian. Pelana lebar dan empuk memberi keselesaan maksimum, walaupun untuk perjalanan jauh.
Walaupun posisi kaki ke depan bukan gaya terbaik untuk selekoh agresif, tetapi Ducati berjaya mengimbangi faktor itu dengan bar hendal lebar, tayar belakang 240mm yang direka khas, dan aci engkol (crankshaft) berputar songsang yang mengurangkan kesan giroskop.
Teknologi Moden dalam Pakej Cruiser
Selain rekabentuk maskular dan agresif, Ducati turut melengkapi XDiavel V4 dengan teknologi moden seperti:
- Ducati Quick Shift 2.0 untuk anjakan gear tanpa klac
- Kawalan Jelajah dan Kawalan Luncur
- Panel meter TFT 6.9 inci dengan kawalan menu melalui suis di hendal kiri
- Mod tunggang: Sport, Touring, Urban, dan Wet
- Sistem keselamatan lengkap ABS Belok, Kawalan Traksi dan Kawalan Wheelie
Rekabentuk Premium, Harga Premium
Dari sudut rekabentuk, Ducati XDiavel V4 2025 memang menawan dari setiap sudut pandang. Tangki minyak yang tampak lebar dan berotot, pelana apung di atas swingarm sebelah, dan empat muncung ekzos menjadikan model itu antara cruiser paling bergaya di pasaran.
Hargam model ini bermula sekitar AS$30,290 (RM128,430), dengan tambahan warna khas Black Lava (hitam). Memang mahal sebab Ducati bukan untuk semua orang, tetapi kepada mereka yang menghargai gaya, kuasa dan prestij dalam satu pakej.
Cruiser Bukan Lagi Perlahan
Ducati XDiavel V4 2025 membuktikan cruiser moden boleh direka untuk kelaju, berteknologi tinggi dan kekal selesa. Kepada penunggang yang mahukan sesuatu yang lebih berkuasa daripada cruiser biasa dan tidak mahu meninggalkan gaya santai, inilah motosikal yang patut dipertimbang.
SUMBER: CarAndDriver
Leave a Reply