LEMBAGA Penyeliaan Porsche AG mengumumkan pelantikan Dr Michael Leiters sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Pelantikan itu menandakan peralihan pucuk pimpinan selepas Dr Oliver Blume (foto bawah) yang menerajui Porsche AG sebagai CEO selama 10 tahun dan akan terus berkhidmat sebagai CEO Volkswagen Group.
Pengerusi Lembaga Penyeliaan Porsche AG, Dr Wolfgang Porsche merakamkan penghargaan atas sumbangan Dr Blume.
Sebagai CEO Porsche AG, Dr Oliver Blume memikul tanggungjawab besar dalam tempoh mencabar dan berjaya menguruskan syarikat.
"Lembaga Penyeliaan Porsche AG mengucapkan terima kasih kepada Dr Blume atas komitmen beliau yang kukuh. Kami berharap untuk meneruskan kerjasama erat dan penuh kepercayaan dengan beliau sebagai CEO Volkswagen Group," katanya.
Di bawah kepimpinan Blume, Porsche AG mencatatkan rekod baharu dalam prestasi tahun kewangan, berjaya melaksanakan Tawaran Awam Permulaan (IPO), meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa, dan mencapai kejayaan bersejarah dalam sukan permotoran.
Beliau juga menyediakan perubahan generasi dalam Lembaga Eksekutif Porsche secara strategik dan berjangka panjang.
Blume, yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Volkswagen Group dan Porsche AG, menjelaskan keputusan beliau untuk menyerahkan tugas tersebut.
Selepas 10 tahun bertanggungjawab untuk Porsche AG, saya memutuskan menyerahkan tugas saya kepada pengganti saya akhir tahun demi kepentingan Volkswagen Group.
"Saya bernasib baik dapat membangunkan sebuah syarikat hebat bersama pasukan cemerlang.
"Saya gembira kerana Michael Leiters, seorang profesional berpengalaman dalam perniagaan kereta sport, mengambil alih peranan ini.
"Beliau dan pasukan pengurusan baharu mendapat kepercayaan penuh saya. Saya mendoakan kejayaan mereka.” - Dr Oliver Blume, CEO Volkswagen Group
Leiters bersama McLaren, Ferrari
Pengganti Blume, Leiters bukan wajah asing dalam industri kereta sport. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai CEO McLaren Automotive dari Julai 2022 hingga April 2025. Sebelum tempoh tersebut, beliau ialah Ketua Pegawai Teknikal (CTO) untuk Ferrari selama lebih lapan tahun.
Beliau juga mempunyai sejarah panjang dengan Porsche AG dan pelantikan tersebu bagaikan sirih pulang ke gagang.
Sebelum berhijrah ke Ferrari, Leiters memegang pelbagai jawatan di Porsche selama lebih 13 tahun dengan jawatan terakhir bertanggungjawab ke atas siri model Porsche Macan dan Porsche Cayenne.
Wolfgang menyatakan keyakinan terhadap pucuk pimpinan baharu.
Dr Michael Leiters mempunyai pengalaman berdekad dalam industri automotif. Gaya kepimpinan dan kepakaran mendalam beliau adalah pra-syarat ideal untuk berjaya mempengerusikan Lembaga Eksekutif Porsche AG.
Beliau dan seluruh pasukan Lembaga Eksekutif di Porsche AG diberi kepercayaan Lembaga Penyeliaan dalam mengatasi cabaran semasa," katanya.
Leave a Reply