MENUNGGANG sebuah motosikal cruiser dengan enjin V-Twin tanpa perlu menarik klac tangan dan memasukkan gear secara manual sudah menjadi realiti di China.
Cara tunggangan seakan skuter itu boleh dilakukan jika anda menaiki model QJMOTOR SRV300 AMT yang dijual di China pada harga 23,999 yuan (RM14,185) seunit.
Hal ini disebabkan cruiser itu dilengkapi dengan sistem transmisi elektronik AMT (automatic manual transmission) yang menggantikan kotak gear klac manual konvensional.
Malah SRV300 AMT itu juga tiada klac tangan, brek kaki dan tuil gear kaki. Ini membezakannya dengan cruiser SRV300 standard yang juga dijual di China dengan harga 22,999 yuan (RM13,590).
Tuil disebelah kiri hendal SRV300 AMT adalah untuk mengaktifkan brek belakang. Tuil brek kanan kekal sama fungsinya seperti motosikal lain.
Bagaimanapun, anda masih boleh menukar gear secara manual dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari melalui tuil + - di bawah konsol sebelah kiri hendal.
Berdasarkan sumber di China, jika tiada penukaran gear dibuat secara manual untuk suatu masa tertentu, sistem motosikal akan mengambil alih dengan membuat pertukaran atau naik turun gear secara automatik.
Pandulaju berkunjung ke Pameran Dagangan Antarabangsa Motosikal China (CIMA) 2024 di Chongqing, China sempat melihat cruiser SRV300 AMT itu secara dekat.
Pengenalan sistem AMT itu bertujuan membolehkan lebih ramai orang menunggang model cruiser V-Twin dengan lebih mudah serta melancarkan tunggangan di kawasan trafik tinggi.
Berikut ialah perincian cruiser QJMOTOR SRV300 AMT:
- Ada lima pilihan warna iaitu merah, putih, hitam, kelabu dan coklat lembut.
- Enjin 4-lejang 296cc V-Twin sejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api, menawarkan kuasa 30.3hp pada 9,000rpm dan tork 26Nm @ 7,000rpm.
- Kotak gear 6-kelajuan tiptronik (AMT) dengan klac slipper, menggunakan pacuan tali sawat.
- Instrumen meter LCD berwarna.
- Fork depan jenis terbalik (USD) dan set absober berkembar di belakang.
- Dimensi panjang 2,110mm, lebar 840mm, tinggi 1,080mm.
- Jarak roda 1,400mm dengan ketinggian pelana 700mm.
- Sistem brek cakera tunggal pada kedua-dua roda.
- Rim alo1 16 inci depan dengan tayar 120/80 dan rim 15 inci beserta tayar 150/80 (belakang).
- Kapasiti tangki minyak 13.5 liter.
- Sistem ekzos berkembar.
- Motosikal seberat 163kg.
- Peg kaki penunggang jenis rata.
Leave a Reply