CHERY Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar dengan menyokong usaha pemuliharaan spesies tuntung sungai (river terrapin) yang kini berada di ambang kepupusan.
Sumbangan ini disalurkan kepada Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS) bagi menyokong program pemuliharaan yang melindungi tuntung sungai serta ekosistem semula jadi yang menjadi habitatnya.
Spesies Southern River Terrapin (Batagur affinis) adalah antara spesies paling terancam di dunia, hanya ditemui di sistem sungai Malaysia dan Kemboja.
Tuntung Sungai: Spesies Terancam dan Simbol Kesihatan Sungai
Sungai Kemaman, Terengganu merupakan antara habitat terakhir spesies ini. Malangnya, pencemaran, degradasi habitat, dan aktiviti pengambilan telur secara haram sudah menyebabkan populasi tuntung sungai berkurangan secara drastik.
Sejak ditubuhkan pada 2011, TCS menjadi NGO pertama dan satu-satunya di Malaysia yang memberi fokus kepada pemuliharaan tuntung air tawar.
Antara usaha utama ialah penyelidikan saintifik, pembiakan, perlindungan habitat, dan penglibatan komuniti setempat.
Chery Malaysia Taja Makanan dan 'Adopt' 31 Tuntung
Dalam lawatan Chery Malaysia ke pusat TCS di Kampung Pasir Gajah, syarikat automotif itu secara simbolik mengambil 31 ekor tuntung sebagai anak angkat dan menaja 16 beg pelet makanan seberat 20kg setiap satu untuk tuntung yang dipelihara di pusat tersebut.
Langkah ini penting bagi menyokong aktiviti pemuliharaan yang sedang berjalan, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan spesies ini.
Memelihara warisan semula jadi Malaysia sama pentingnya dengan memacu kemajuan di jalan raya. Tuntung sungai adalah simbol kepada kesihatan sungai kita. Dengan menyokong TCS, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menghargai dan melindungi biodiversiti unik ini,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew.
TCS: Lebih 11,000 Telur Diselamatkan Sejak 2011
Menurut Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif TCS, Dr. Chen Pelf Nyok;
Kami berterima kasih kepada Chery Malaysia kerana mengiktiraf kepentingan melindungi tuntung sungai. Kerjasama ini bukan sahaja membantu meneruskan usaha pemuliharaan, malah meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap spesies yang sering diabaikan.”
Setakat ini, TCS berjaya menyelamatkan lebih 11,000 biji telur dan melepaskan hampir 6,000 ekor tuntung ke Sungai Kemaman. Selain Terengganu, tuntung sungai turut ditemui di sungai-sungai di Kedah, Perak, dan Pahang.
Mengapa Tuntung Sungai Penting?
Tuntung sungai memainkan peranan penting dalam mengekalkan ekosistem sungai yang sihat, termasuk kitaran nutrien dan penunjuk kualiti air.
Pemuliharaan mereka memberi manfaat kepada hidupan liar, komuniti tempatan, sektor perikanan dan juga eko-pelancongan.
Usaha Chery Malaysia ini mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap kelestarian alam, perlindungan alam sekitar, dan penglibatan komuniti demi memastikan generasi akan datang mewarisi khazanah semula jadi yang kaya dan lestari.
Leave a Reply