SEBELUM kenderaan elektrik seperti Atto 3, Seal dan Dolphin, kenderaan komersial BYD terlebih dahulu bertapak di pasaran.
Sebagai contoh 15 buah bas elektrik BYD diserahkan kepada Prasarana pada 2015 untuk digunakan di Laluan BRT Sunway yang juga sistem BRT elektrifikasi bateri pertama di dunia.
Syarikat kereta yang terlibat di dalam kenderaan komersial merupakan perkara biasa seperti dilakukan pengeluar Eropah dan Jepun.
Terbaru BYD memperkenal E-Vali iaitu kenderaan ringan komersial (LCV) pada pameran IAA Transportation 2024 di Hannover, Jerman yang juga debut global.
E-Vali direka khusus untuk pasaran Eropah dan sesuai dalam memenuhi khidmat penghantaran lokasi akhir (last mile) dan parsel.
Walaupun rekabentuk berkotak, E-Vali nampak bergaya dengan bahagian depan seperti kereta api. BYD juga merupakan pengeluar rel transit seperti monorel.
Terkenal dengan bateri Blade, E-Vali turut menggunakannya dengan kapasiti 80.64 kilowatt-jam (kWj) dan boleh dipandu sehingga 250 kilometer (WLTP).
Waktu gendala (downtime) boleh dikurangkan melalui pengecasan pantas 10 sehingga 80 peratus dalam masa sekitar 30 minit.
Untuk makluman, seseorang pengguna EV tidak semestinya perlu mengecas sehingga maksimum atau menghabiskan masa 30 minit tetapi cukup sekadar jarak atau tenaga yang diperlukan.
Sebagai contoh, Abang Gan hanya perlu melakukan pengecasan pantas dari 10 sehingga 15 minit (atau mungkin lebih rendah) untuk ke destinasi seterusnya.
Baki tenaga yang diperlukan boleh dicas apabila pulang ke rumah dan ditinggalkan semalaman. Keadaan itu sama seperti kenderaan enjin pembakaran dalaman bila mana pengguna mengisi petrol mengikut jumlah wang dan bukan mengisi setangki penuh setiap kali behenti di stesen minyak.
Jarak 250 km mungkin terasa pendek dan dari situ perlu perancangan rapi untuk kerja-kerja seharian. Hentian waktu rehat juga boleh dimanfaatkan untuk pengecasan.
Dari segi kebolehgunaan, bumbung yang tinggi membolehkan pekerja untuk melakukan kerja-kerja pemunggahan tanpa perlu menunduk dan membongkok.
Pintu belakang boleh dibuka dengan luas selain pintu sisi jenis gelangsar untuk memuat naik dan menurunkan barangan. Kerusi boleh dilipat memanfaatkan ruang secara maksimum.
E-Vali juga dilengkapi VTOL (vehicle to load) bagi mengecas perkakasan luar menggunakan bateri dalaman.
Ciri-ciri BYD E-Vali:
Ukuran
- Model 3.5 tan
- 5,995 (p) x 2,096 (l) x 2,780 (t) mm
- Jarak roda: 3,865 mm
- Muatan kargo: 13.9 m³
- Model 4.25 tan
- 6,995 (p) x 2,096 (l) x 2,780 (t) mm
- Jarak roda: 4,550 mm
- Muatan kargo: 17.9 m³
Kuasa dan prestasi
- Kuasa motor maksimum: 100 (d), 150 (b) kW
- Jenis pacuan: belakang (RWD), semua roda (AWD)
- Kelajuan maksimum: 90, 120 km/j
- Kapasiti bateri: 80.64 kWj
- Kuasa pengecasan: 11kW/22kW (AC), 188kW (DC)
- Jarak pemanduan: 220 - 250 km
- Fungsi V2L: 3 kW
- Beban muatan: 700 - 1,450 kg
Dalaman dan teknologi
- Papan pemuka rekaan moden dan minimalis dengan skrin sentuh saiz besar
- Paparan skrin boleh dibahagi kepada dua untuk pemandu fokus pada jalan raya dan penumpang menikmati hiburan sendiri
- Sambungan 4G dengan fungsi kemas kini Over The Air (OTA)
- Aplikasi BYD untuk pelbagai fungsi kawalan jauh dan pengawasan status kenderaan
- Konsol serba guna yang disatukan (pengecas telefon tanpa wayar, tuil tukaran gear) dan menjimatkan banyak ruang
- Kerusi larasan elektrik dengan rekaan ergonomik yang memudahkan masuk dan keluar dari van
- Stereng pelbagai fungsi
- Meja lipat tersorok pada konsol tengah, peti sejuk, port USB dan pelbagai ruang simpanan
- Dinding sekat memisahkan pemandu dan penumpang daripada ruang muatan utama untuk keselamatan dan kehormatan
Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS)
- Kawalan Jelajah Adaptif & Kawalan Pandu Pintar
- Amaran Pelanggaran Depan
- Amaran Lintasan Trafik Belakang
- Brek Kecemasan Automatik
- Bantuan Penukaran Lorong
- Pengesanan Titik Buta
- Sistem Kawalan Terbalik (rollover)
- Kawalan Penurunan Curam
- Pengurusan Keletihan Pemandu Tidak Langsung
- Kawalan Henti di Curam
Perkakasan elektrik
- Bateri Blade dengan Lithium Iron-Phosphate (LFP) sebagai bahan katod
- Rangkaian kuasa elektrik 6 dalam 1 dalam satu modul ringkas yang menyatukan Unit Kawalan Motor, Motor Pacuan. Kotak Gear, Sistem Pengurusan Bateri, Unit Kawalan Kenderaan, Unit Pembahagian Kuasa.
- Pam haba untuk meningkatkan pengurusan terma dan prestasi dalam pelbagai jenis cuaca.
Leave a Reply