
JENAMA kereta, BUGATTI memperkenalkan sebuah lagi karya luar biasa menerusi W16 Mistral ‘Caroline’, sebuah hypercar roadster eksklusif yang menjadi penutup sempurna kepada era enjin legenda W16 jenama Perancis itu.
Dibangunkan menerusi program Sur Mesure, model ini bukan sekadar sebuah kereta berprestasi tinggi, tetapi sebuah karya seni automotif yang dibina mengikut citarasa peribadi pemiliknya. Nama ‘Caroline’ sendiri dipilih sebagai penghormatan kepada anak perempuan pelanggan setia Bugatti tersebut, menjadikan model ini sarat dengan nilai sentimental dan identiti tersendiri.
Inspirasi Dari Bunga, Haute Couture
Tidak seperti projek tempahan biasa, Bugatti W16 Mistral ‘Caroline’ diinspirasikan daripada keindahan bunga, dunia Haute Couture, serta keanggunan warna-warna mewah.
Pasukan Color & Material Finish Bugatti yang diketuai Sabine Consolini mengambil inspirasi daripada ladang lavender di Provence, taman Paris yang eksklusif serta tekstur fabrik fesyen mewah. Hasilnya ialah warna khas Lavender, satu tona ungu lembut yang berubah mengikut cahaya – antara violet kebiruan dan kemerahan – memberi efek visual yang sangat elegan pada bentuk badan roadster ini.
Gentian Karbon Violet, Perincian Lukisan Tangan
Bahagian bawah badan kereta menggunakan kemasan Violet Carbon exposed weave, memberikan kontras yang dramatik dengan warna badan utama. Paling mencuri perhatian ialah bahagian spoiler belakang retractable yang dijadikan kanvas lukisan tangan dengan motif bunga lilac dan iris.
Di tengah-tengah komposisi itu, nama ‘Caroline’ diabadikan dalam gaya tipografi khas Bugatti, menjadikan keseluruhan jentera ini lebih peribadi dan eksklusif.
Kabin Mewah, Sulaman Floral Premium

Masuk ke ruang kabin, tema floral diteruskan dengan kombinasi kulit Blanc dan Minuit,
bersama aksen violet dan panel karbon. Bahagian headrest menerima sulaman bunga yang dibuat secara manual menggunakan ribuan benang, manakala panel pintu menampilkan corak kelopak bunga seolah-olah ditiup angin.
Di bahagian gear selector pula, ikon ‘Dancing Elephant’ rekaan Rembrandt Bugatti ditempatkan dalam kaca berwarna violet, menghubungkan warisan seni jenama dengan sentuhan moden.
Penutup Era W16 Yang Ikonik

W16 Mistral merupakan model terakhir Bugatti yang menggunakan enjin legenda 8.0-liter quad-turbo W16, sekaligus menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah hypercar moden.
Sebagai model open-top paling ekstrem Bugatti, W16 Mistral menggabungkan prestasi luar biasa dengan tahap kemasan artisan yang sukar ditandingi.
Sur Mesure Pada Tahap Tertinggi
Menurut Pengarah Urusan Bugatti, Hendrik Malinowski, projek seperti ini menggambarkan tahap tertinggi falsafah Sur Mesure, di mana setiap elemen dibentuk mengikut kehendak pelanggan.
Beliau menyifatkan W16 Mistral ‘Caroline’ sebagai gabungan sempurna antara warisan Bugatti, inovasi teknologi dan ekspresi peribadi pemilik. Secara ringkas, ini bukan sekadar sebuah Bugatti tetapi satu masterpiece automotif yang menutup tirai era W16 dengan penuh gaya.
SUMBER: Bugatti
































