
DUCATI memperkenalkan Ducati Factory Made (DFM), satu program baharu yang membawa konsep personalisasi atau kustom terus dari kilang untuk motosikal dari Borgo Panigale buat kali pertama.
Dilancarkan di Eropah pada 16 Februari, program ini debut bersama Ducati Multistrada V4 dan membolehkan pembeli menetapkan spesifikasi pilihan pelanggan ketika membuat tempahan.

Semua komponen dan pilihan dipasang secara terus di barisan produksi tanpa memerlukan sebarang ubah suai selepas jualan.
Program ini memastikan motosikal dihantar dalam keadaan lengkap seperti yang ditempah, dengan pemasangan secara in-line yang mengekalkan keseragaman serta piawaian kualiti produksi Ducati.
Pilihan Warna & Liveri

Di antara elemen utama dalam Ducati Factory Made ialah pilihan warna dan liveri yang lebih meluas. Pilihan yang ditawarkan merangkumi:
- Icone yang menampilkan warna tradisi Ducati
- Style dengan kemasan berkilat yang menyerlahkan karakter moden
- Sophistication dengan pilihan warna kusam untuk sentuhan lebih eksklusif
- Performance Liveries bagi imej lebih sporty
- Ducati Corse Liveries yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan
Program ini turut kesinambungan kerjasama di antara Ducati dan Automobili Lamborghini.
Beberapa warna ikonik Ad Personam Lamborghini kini ditawarkan di dalam konfigurator Multistrada V4, termasuk Viola Pasifae (ungu metalik), Arancio Xanto (oren terang), Giallo Belenus (kuning terang), Blu Uranus (biru terang) dan Verde Scandal (hijau terang).
Komponen Teknikal & Ergonomik

Selain aspek visual, Ducati Factory Made turut merangkumi pilihan teknikal seperti rim tuang dengan pelbagai warna, rim tuang aloi ringan, rim jejari, serta pilihan warna untuk subrangka belakang dan kaliper brek.
Pilihan konfigurasi turut melibatkan ketinggian pelana dan pembonceng, serta tetapan suspensi, menjadikan tahap personalisasi terus dari kilang ini lebih menyeluruh tanpa menjejaskan integriti pemasangan.
Pelanggan juga boleh menggabungkan spesifikasi pilihan dengan pakej rasmi Ducati seperti Touring, Adventure, Sport, Tech dan Enduro mengikut keperluan masing-masing.

Pikes Peak & RS
Program ini turut melibatkan varian seperti Ducati Multistrada V4 Pikes Peak dan Multistrada V4 RS yang hadir dengan kelengkapan serta liveri khusus.
Bagi model tersebut, konfigurator membolehkan pemilihan opsyen ergonomik seperti variasi ketinggian pelana, warna kaliper brek (jika tidak termasuk dalam liveri asal), lampu tambahan, serta komponen karbon tambahan.
Ducati Factory Made kini tersedia di laman web rasmi Ducati. Selepas konfigurasi disiapkan, pelanggan boleh menghantar spesifikasi tersebut kepada pengedar pilihan untuk mendapatkan sebut harga rasmi.






























