DI ANTARA isu yang dibangkitkan mengenai kenderaan elektrifikasi ialah ke mana perginya bateri selepas ditukar baharu?
Adakah dibiarkan di tapak pelupusan sampah atau bagaimana? Isu ini bukan baharu kerana penduduk dunia sudah dalam hidup dengan barangan elektrik dan sudah wujud kaedah menguruskannya.
Bateri BEV boleh diguna semula. Nissan membuktikannya melalui sumbangan kepada Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) termaju di Lapangan Terbang Fiumicino, hab pengangkutan antarabangsa terbesar di Itali.
Inisiatif yang dinamakan Pioneer ini, yang turut dibiayai oleh Dana Inovasi EU, merupakan sebahagian daripada sasaran Lapangan Terbang Rom (ADR) untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2030.
Projek ini menunjukkan potensi besar teknologi EV yang sudah tamat tempoh penggunaan, yang boleh terus membekalkan tenaga bersih dan fleksibel, jauh selepas peranan asalnya dalam kenderaan.
Bagaimana Bateri LEAF Beri Kuasa Lapangan Terbang
Secara keseluruhan, BESS Pioneer ini mampu menyimpan tenaga elektrik sehingga 10 MWj. Nissan telah membekalkan sebanyak 84 unit bateri Nissan LEAF kitaran kedua, menyumbang sejumlah 2.1 MWj kepada sistem penyimpanan tenaga ini.
Bateri-bateri ini kemudian disatukan oleh Loccioni, penyepadu sistem yang bertanggungjawab menyelaraskannya ke dalam Sistem Penyimpanan Tenaga milik Enel.
Apa yang lebih menarik, projek Pioneer ini digandingkan dengan Ladang Suria gergasi yang mempunyai 55,000 panel solar.
Ladang suria ini dijangka mampu menjana 31 GWj tenaga boleh baharu setiap tahun, memastikan bekalan kuasa bersih yang konsisten untuk terminal lapangan terbang, serta perkhidmatan fleksibel untuk grid lapangan terbang itu sendiri.
Bateri LEAF yang digunakan semula adalah dari generasi ketiga (30 kWj) dan generasi keempat (40 kWj), yang diperoleh daripada kenderaan dengan perbatuan tinggi dan pulangan waranti.
Setiap satu telah melalui proses kelayakan semula yang ketat bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan dan prestasi yang tinggi.
Nissan meramalkan bahawa bateri kitaran kedua ini akan dapat berfungsi selama lebih daripada 6 hingga 7 tahun di lapangan terbang, walaupun digunakan setiap hari.
Komitmen Nissan Terhadap Kelestarian

Soufiane El Khomri, Pengarah Tenaga Nissan bagi rantau Afrika, Timur Tengah, India, Eropah dan Oceania (AMIEO), menjelaskan,
"Projek ini bukan sahaja membuktikan kebolehlaksanaan jangka panjang bateri EV yang diguna semula dalam persekitaran yang mencabar, tetapi juga menggariskan komitmen Nissan terhadap pengurusan bateri akhir hayat yang mampan."
Pasukan Nissan terlibat secara langsung dalam setiap aspek, daripada penyepaduan teknikal bateri kitaran kedua ke dalam BESS, simulasi jangka hayat bateri, hinggalah menyediakan jaminan prestasi dalam sistem baharu.
Lebih penting lagi, sebaik sahaja bateri ini mencapai penghujung hayat bergunanya dalam projek ini, Nissan akan mengambil tanggungjawab penuh untuk kitar semulanya.
Nissan bukan baru dalam bidang ini dan mempunyai rekod kerjasama yang berjaya dengan Loccioni dan pembekal tenaga, Enel.
Projek-projek penyimpanan tenaga serupa seperti ESS Melilla di Sepanyol dan sistem ESS Nomadic Lab telah membuktikan keberkesanan dan kebolehpercayaan teknologi bateri kitaran kedua Nissan dalam menyediakan penyelesaian tenaga boleh baharu yang stabil.
El Khomri menambah;
"Kami mengubah potensi sisa menjadi aset tenaga yang berharga. Strategi guna semula kami bukan sahaja menyokong projek industri berskala besar seperti Lapangan Terbang Fiumicino milik Aeroporti di Roma, tetapi juga menunjukkan potensi untuk digunakan di rumah seperti sandaran semasa gangguan bekalan elektrik."
Ketika kami terus meningkatkan penggunaan semula dan kitar semula bateri, kami terus memperkukuh misi kami yang lebih luas ke arah masa depan yang lebih bersih dan cekap tenaga."
Enrico Loccioni, Presiden dan pengasas Loccioni, turut mengulas;
"Dengan Pioneer, kami telah membina jambatan antara dua dunia dalam perjalanan mereka ke arah penyahkarbonan: tenaga dan mobiliti.
"Inti utama yang sentiasa kekal adalah kualiti: kualiti insan, kualiti projek, dan kualiti inovasi. Ini juga boleh disebut sebagai kelestarian."
Leave a Reply