Aveta Nova 160 Signature Edition

PENGELUAR motosikal tempatan, Aveta Global Marketing Sdn Bhd memperkenalkan dua pilihan warna baharu untuk skuter popular jenama itu, Aveta Nova 160 Signature Edition 2026, iaitu Mantis Green (hijau) dan Cosmic Purple (ungu).

Pada harga RM8,088, langkah itu dilihat kesinambungan kepada sambutan positif diterima Nova 160 sepanjang tahun lalu, khususnya kalangan penunggang bandar yang mencari keseimbangan antara gaya, praktikaliti dan nilai.

Mantis Green Edisi Terhad, Hanya 1,000 unit

Tumpuan utama pelancaran adalah pengenalan warna hijau edisi terhad yang dikenali sebagai Mantis Green Limited Edition. Edisi istimewa itu terhad 1,000 unit sahaja seluruh Malaysia, sekali gus menjadikan skuter itu lebih eksklusif untuk peminat dan pengumpul.

Setiap unit Aveta Nova 160 Signature Edition Mantis Green Limited Edition hadir dengan nombor siri unik bermula 0001/1000. Model itu ditawarkan eksklusif menerusi rangkaian pengedar terpilih Aveta Preferred seluruh negara.

Cosmic Purple Tonjol Imej Moden, Premium

Selain edisi terhad, Aveta turut memperkenalkan warna baharu Cosmic Purple (ungu) untuk Aveta Nova 160 Signature Edition 2026. Pilihan warna tersebut memberi penampilan lebih moden dan premium, sejajar cita rasa penunggang urban masa kini.

Varian Cosmic Purple dijangka mula berada di pasaran pada minggu ketiga Januari 2026 dan akan ditawarkan di semua pengedar sah Aveta seluruh Malaysia, menjadikannya lebih mudah diakses pembeli.

Sambutan Pasaran Kukuh Sepanjang 2025

Sepanjang 2025, Aveta Nova 160 mencatatkan prestasi pendaftaran konsisten dan memberangsangkan di pasaran tempatan. Pencapaian itu mencerminkan keyakinan pengguna terhadap kualiti binaan, prestasi dan nilai pemilikan ditawarkan Aveta.

Aveta Global Marketing menyatakan komitmen berterusan untuk menyesuaikan produk dengan perubahan trend pasaran, selain mengambil kira maklum balas pengguna sebagai sebahagian usaha mengekalkan daya saing jenama itu di Malaysia.

Harga Kekal Kompetitif

Walaupun menampilkan elemen eksklusif dan pilihan warna baharu, harga asas Aveta Nova 160 Signature Edition 2026 dikekalkan bagi memastikan terus kekal mampu milik.

Harga asas ialah RM8,088, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Aveta Nova 160 Signature Edition Mantis Green Limited Edition boleh didapati di pengedar Aveta Preferred, manakala warna Cosmic Purple akan ditawarkan di semua pengedar sah Aveta seluruh negara.

Senarai penuh pengedar boleh disemak menerusi laman web rasmi Aveta.com.my.

Nova 160 Cosmic Purple
Nova 160 Mantis Green Limited Edition
Leave A Reply

Exit mobile version