KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) menjangka Akta Pekerja Gig akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya akhir Mac 2026, dengan beberapa mekanisme sokongan seperti penubuhan majlis perundingan khas yang akan diumumkan kelak.
Menteri Sumber Manusia, R Ramanan berkata, butiran lanjut berhubung majlis perundingan, tribunal dan perkara berkaitan pelaksanaan akta berkenaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Jaminan Bayaran, Perlindungan Keselamatan Sosial
Beliau berkata, Akta Pekerja Gig memberi perlindungan utama kepada golongan pekerja gig, termasuk jaminan tempoh pembayaran dan perlindungan keselamatan sosial jika berlaku kemalangan ketika bekerja.
Pembayaran mesti dibuat dalam tempoh tujuh hari, dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi jaminan sebaik saja mereka jadi pencarum, sekiranya berlaku apa-apa insiden, mereka akan dilindungi.
“Perlindungan ini juga memastikan ahli keluarga tidak terjejas sekiranya pekerja gig tidak dapat bekerja akibat kemalangan,” katanya.
Tiada Harga Lantai Seragam untuk Semua Platform
Mengulas cadangan penetapan harga lantai tetap bagi penunggang atau penghantar, Ramanan berkata, langkah itu tidak praktikal untuk dilaksanakan secara seragam merentasi semua platform.
Menurutnya, setiap platform mempunyai struktur perniagaan dan tahap keuntungan berbeza. Jadi mengenakan kadar tetap boleh memberi kesan negatif kepada platform yang masih belum mencatat keuntungan.
Ada platform yang mencatat keuntungan dan ada sebaliknya. Jika kita memaksa semuanya menggunakan satu kadar tetap, apa akan berlaku kepada platform yang tidak mencatat keuntungan?” katanya.
Perlu Seimbang Lindungi Pekerja, Majikan
Ramanan menegaskan, Kerajaan mengambil pendekatan seimbang dalam merangka dasar, bukan saja melindungi pekerja gig, tetapi juga memastikan kelangsungan perniagaan platform.
Jika kita terus memberi tekanan kepada majikan, apa akan berlaku apabila mereka tidak lagi mampu menanggung kos pengurusan dan perniagaan? Kita perlu menjaga semua pihak,” katanya.
Gaji Minimum Kekal Penanda Aras
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, Kerajaan tetap menggunakan dasar gaji minimum sebagai penanda aras perlindungan pendapatan.
Pendapatan minimum diselaraskan kepada RM1,700, tetapi penentuan kadar bayaran penghantar masih berada di bawah platform masing-masing, selagi mematuhi Akta Pekerja Gig dan undang-undang sedia ada,” katanya.
SUMBER: SinarHarian






