SAAT saya memandu uji Volkswagen Beetle Club, model edisi terhad ini sudah pun habis dijual. Tanpa mengambil masa lama, 50 unit Si Kumbang Jerman habis terjual dek paras rupanya yang bertambah kacak dan maskulin.
Ramai juga bertanya, apakah keistimewaan atau kelainan yang ada pada Si Kumbang ini sehingga ia mendapat sambutan menggalakkan.
Sekali imbas, Beetle Club ini tampak hampir sama seperti barisan Beetle yang lain. Baik dari wajah luaran mahupun dalaman.
WARNA BAHARU
Cuma ada beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menjadikan ia tampak maskulin. Antaranya kehadiran warna baharu iaitu Calypsa Orange.
ANDA MUNGKIN BERMINAT: Beetle Habis Dijual !!!
Untuk membezakan dirinya dengan model Beetle yang lain, ia dipadankan dengan pelekat ‘Club’ di sisi badan bersama garis berwarna krom. Lebih tampak garang, ia juga didatangkan dengan rim aloi Ravenna bersaiz 17 inci.
DALAMAN LEBIH MENARIK
Memasuki ruang dalaman pula, tempat duduk pula dibaluti kulit dengan dua tona warna iaitu hitam dan oren. Ia juga di jahit dengan benang berwarna oren. Stereng pula dllekatkan dengan lencana ‘Club’ pada bahagian bawah tengah.
PRESTASI KEKAL
Aspek prestasi tidak menerima sebarang perubahan. Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Mexico itu dijana unit enjin bersesaran 1.2L TSI. Sama seperti varian sedia ada, ia mampu menghamburkan kuasa sebanyak 103hp pada 5,000rpm dan tork puncak 175Nm (1,550 -4,100rpm).
Bagi sesetengah individu, unit 103hp dan 175Nm tidak begitu mengancam bagi kereta mewah. Namun, realitinya, jika anda pencinta sebenar Beetle, kapasiti enjin subkompak itu sudahpun menawarkan lebih daripada cukup pecutan laju. Pendek kata, jenuh juga nak kejar 'pikap' kereta kenit itu.
PANDU UJI BEETLE CLUB
Pecutan sifar ke 100kmj dapat dibuat sepantas 10.7 saat dengan kelajuan maksimum 180kmj. Pengalaman mengemudi jentera ini dibanyangi rasa tegap dan meyakinkan. Gelombang tork dapat dirasai bila-bila masa ia diperlukan.
Stereng dan penukaran gear bertindak responsif. Beetle Club menawarkan pemanduan dan pengendalian munasabah pada sebarang kelajuan dengan olengan badan minimum.
Bagi saya, penggunaan bahan api amat menjimatkan. Walau bagaimana, saya tidak sempat merekodkan jumlah penggunaan bahan api dek terlalu seronok memandu sehingga terlupa. Apa yang boleh katakan, ia memang menjimatkan.
Sepanjang mengemudi jentera ini selama seminggu, saya dapat merasakan keyakinan walaupun terpaksa mencelah di tengah kesibukan kota dengan bergaya.
Walaupun sudah habis dijual, saya harap Volkswagen dapat keluarkan lagi model edisi terhad sebegini. Nampak lain dari yang lain. Lebih penting, hanya ada 50 unit saja di Malaysia.
Leave a Reply