KAWASAKI Ninja 250 versi 2018, atau Ninja 250 STD seperti disenaraikan di laman web rasmi Kawasaki Malaysia mengejutkan peminat motosikal tempatan sejak diumumkan hujung 2017.
Dengan kuasa maksimum 39hp atas kertas, Ninja suku liter ini diletakkan sebagai pesaing terdekat kepada abangnya sendiri, Ninja 300 yang juga mampu mencapai 39hp. Jadi, kenapa perlu naik taraf lesen untuk dapatkan Ninja 300 jika Ninja 250 pun sudah boleh berikan kuasa sama. Betul?
BACA >>> #TunggangUji: Kawasaki Ninja 650 ABS + Petron Blaze RON100 = Memang Terbaik!
Bagi menjawab persoalan tersebut, saya langsung bersetuju apabila ditawarkan untuk menunggang uji sportbike 250cc itu baru-baru ini. Aplikasi Speedometer GPS Pro daripada Google PlayStore menjadi pilihan untuk merekodkan data-data kelajuan yang diperoleh sepanjang tempoh tunggang uji. Walaupun tidak sebegitu tepat jika dibandingkan peralatan profesional, paling tidak ia masih boleh memberikan hasil yang lebih objektif - barulah tunggang uji namanya.
Apakah hasil yang saya dapat? Ikuti laporan di bawah ini.
PECUTAN MANTAP!
Ninja 250 (2018) mempunyai tork lebih tinggi daripada model sebelum ini, 23.5Nm @ 10,000rpm berbanding 21.0Nm @ 10,000rpm. Kombinasi bukaan pot injeksi yang lebih besar (32mm x 2), rombakan pada kotak gear, berat keseluruhan lebih ringan dan sentuhan magis daripada jurutera Kawasaki menjadikan model baru ini terasa lebih menerkam saat terotel dipulas.
Hasilnya, pecutan kelajuan rendah 22kmj ke 100kmj mengambil masa cuma 7 saat dalam jarak singkat, 150 meter. Keputusan hampir sama didapati apabila memecut 30kmj, cuma 5 saat dan 136 meter untuk mencapai 104kmj; jadi berhati-hati jika menunggang di kawasan pantauan sistem AES melainkan anda memang suka bergambar.
BACA >>> Kawasaki Ninja 250 (2018) Baharu Lancar di MAEPS! Harga Anggaran RM23k!
Kuasa pecutan kuat boleh dikreditkan kepada karakteristik hantaran kuasa ke roda belakang. Enjin 4-lejang Kawasaki dwi-silinder 250cc talaan baharu ini cukup responsif dengan tukaran gear sangat lancar hasil bantuan sistem bantuan klac (clutch assist).
Ciri ini sebenarnya sudah ada pada Ninja 250 generasi terdahulu. Bagaimanapun dipadankan dengan nisbah gear tinggi yang mana dalam gear kelima, ia masih boleh dipecut hingga 130kmj, sekali gus membolehkan jentera ini meninggalkan jauh jentera 150cc lain yang cuba menghambat.
TOP SPEED MENGECEWAKAN (?)
Jika tanda aras kelajuan maksimum anda selama ini ialah Yamaha YZF-R25, rekod kelajuan Ninja 250 baru ini mungkin mengecewakan. Tidak seperti pesaing itu yang mampu mencapai angka 190kmj, panel meter Ninja 250 yang saya uji ini cuma menunjukkan angka top speed 176kmj.
Tapi tunggu dulu, bacaan meter setiap motosikal biasanya tidak sama! Meter Yamaha misalnya cenderung menunjukkan angka lebih tinggi daripada kelajuan sebenar dengan beza bacaan sampai dua digit.
Berbalik kepada rekod Speedometer GPS Pro, kelajuan maksimum yang dapat dicapai ialah 169.7kmj. Jika merujuk rekod kelajuan Yamaha R25 yang diubah suai sistem ekzos dan rantai pacu prestasi tinggi, dan kelajuan Kawasaki Ninja 300 standard, Ninja 250 baharu jelas mampu menyaingi kedua-dua saingan terdekat itu. Inilah penambahbaikan ketara dilakukan Kawasaki berbanding model sebelum ini yang mampu mencapai had 160kmj sahaja.
Menarik untuk diketahui juga, anda cuma perlukan masa tidak lebih 1 minit dan jarak 2.5km untuk Ninja 250 (2018) mencapai kelajuan maksimum dari kelajuan santai 100kmj. Drop gear, disappear? Tiada masalah!
PRESTASI PENGENDALIAN MESRA PENUNGGANG, TETAPI TIADA ABS. HMM....
Apa guna kuasa mencanak jika pengendalian ke longkang, betul? Dalam hal ini, Kawasaki sedikit mengecewakan apabila Ninja 250 baharu masih tidak dipakejkan bersama Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) sebagai ciri standard.
Namun, ia tidak terlalu menjejaskan prestasi brek dan pengendalian jentera ini. Brek depan cukup menggigit ketika tuil ditarik, hasil cengkaman kaliper Nissin 2-piston kembar pada cakera tunggal 310mm, 20mm lebih besar daripada model lama. Bersama kombinasi klac sliper (slipper clutch), proses memperlahankan kelajuan di selekoh atau berhenti sepenuhnya berjalan lancar tanpa sebarang drama tidak diingini.
Brek belakang pula, cakera tunggal 220mm dwi piston memberikan cengkaman progresif dan tidak mudah terkunci. Mungkin ada yang menganggap prestasi brek sebegini seperti tidak 'cukup makan'. Namun, memandangkan pengendalian sebuah sportbike tidak memerlukan anda terlalu bergantung kepada brek belakang dan hanya diguna jika situasi memerlukan, prestasi begini lebih diterima.
BACA >>> #RetroAuto: [SIRI 1] 4 Model Kawasaki Ninja 250 Pertama, Evolusi Lebih 30 Tahun
Dari segi suspensi, Ninja 250 (2018) nyata tidak mengecewakan. Menggunakan unit bottom-linked Uni Trak boleh laras, selekoh boleh diredah lebih pantas tanpa rasa membuai pada roda belakang. Di bahagian hadapan, fork teleskopik (mungkin fork USD terlalu mahal untuk julat harga ini) yang berdiameter lebih besar (41mm) cukup berkesan menyerap hentakan berlebihan ketika melalui jalan dalam kawasan perumahan penuh dengan bonggol setiap 100 meter.
Tayar dibekalkan ialah jenis Dunlop Arrowmax GT601 dengan ukuran standard jentera 250cc, 110/70-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang). Tayar ini mungkin kurang diberi perhatian penunggang tempatan, tetapi prestasi dihamburkan cukup cemerlang dan diakui kalangan pengguna luar negara. Ujian berlangsung dalam suasana hujan beransur renyai hujung minggu lalu, prestasi tayar lebih baik berbanding tayar sportbike 250cc popular yang saya pakai pada motor sendiri sekarang.
KESIMPULAN
Secara am, Kawasaki Ninja 250 (2018) boleh dikatakan pilihan terbaik buat masa ini jika anda mahukan motosikal sport touring dengan kuasa terhebat dalam kelas 250cc. Al-maklumlah, ramai penunggang di Malaysia masih belum berkeinginan menaik taraf lesen standard kepada B-Penuh.
BACA >>> #RetroAuto: [SIRI 2] 4 Model Kawasaki Ninja 250 Dekad 90-an dan Milenium
Tetapi sebelum anda buat keputusan muktamad, apa kata tunggu dulu? Saya sebenarnya baru saja bercerita pasal pengendalian dan kuasa Ninja 250. Belum lagi termasuk kelengkapan dan ciri lain yang boleh mempengaruhi keputusan anda.
haji musa says
berdasarkan status kewangan sekrg sy hanya mampu mendambakan RS200..lagipun ia dilengkapi dgn ABS
Suhardi says
review test drive dlm video tadak kah?