NORTON mendedahkan dua lakaran yang menunjukkan scrambler baharu yang bakal debut pada November depan. Norton Atlas (2019) akan dikuasakan trenkuasa 650cc Twin baharu dengan tanda harga sasaran sekitar £10,000 (RM53,179).
Atlas (2019) membangkitkan semula masa lalu Norton. Model Atlas asal diperkenalkan pada 1962, dengan enjin 745cc Twin penyejukan udara. Itulah enjin terbesar pernah dihasilkan pengeluar tersebut pada masa itu hasil daripada penambahbaikan gerak dan lejang enjin 497cc Norton Dominator.
Ironinya, Atlas baharu ini akan menggunakan enjin terkini Norton paling kecil. Enjin 650cc Twin sebenarnya dibangunkan berasaskan enjin Norton V4 RR, dengan membuang silinder belakang, manakala lejang dipanjangkan. Norton juga dilaporkan sedang cuba menghasilkan tiga versi enjin berbeza: versi kuasa rendah (70hp), talaan biasa (100hp), dan versi supercas (175hp) dengan jangkaan Atlas kekal dengan enjin aspirasi natural (NA).
Lakaran di bawah menunjukkan penggunaan frem tiub keluli, kedudukan ekzos tinggi, rim bilah (wire-spoke), brek cakera depan kembar dan fork terbalik (USD).
Lampu depan bulat disatukan bersama fender paruh tajam dan visor angin kecil. Beberapa perincian mungkin berubah sepanjang tempoh sebelum debut rasmi kelak pada musim luruh ini sempena pameran Pusat Pameran Kebangsaan (NEC) di Birmingham, Britain.
SUMBER: Motorcycle.com
Leave a Reply