KENAPA lengan ayun @ swingarm motosikal moden sekarang bengkok-bengkok belaka?
Lengan ayun di sini bukanlah bermaksud lengan abah yang selalu diayunkan ke belakang kita kerana degil nak mampus, tetapi terjemahan Bahasa Melayu untuk istilah Inggeris - swingarm, yakni komponen motosikal berupa batang besi yang bertanggungjawab memegang komponen roda belakang seperti rim+tayar, brek dan sproket.
Mengimbau kembali kenangan swingarm bengkok bak pisang pada zaman dahulu kala, terlintas di kepala kami tentang Aprilia RS250 keluaran 1996 yang begitu lazat ditunggang dan menjadi kegilaan jejaka-jejaka kacak yang rata-rata kalangan mereka hari ini sudah pun bergelar 'bapak budak'.
Direka dengan keupayaan enjin 2-lejang, RS250 memerlukan ruang kelegaan untuk laluan kebuk ekzos. Jadi, cuma dengan membengkokkan swingarm, barulah laluan tersebut dapat disempurnakan. Tetapi bukanlah Aprillia yang mencipta rekaan swingarm seperti itu. Tetapi jentera lumba Suzuki RG500 milik pelumba legenda, Kevin Schwantz yang lebih dahulu menggunakannya. Kemungkinan juga ada model lain yang lebih awal.
BACA >>> #BikinMotorLaju: [SIRI 1] Ubah Sproket - Mahu Pikap atau Laju?
Rekabentuk swingarm jentera Schwantz ketika itu nampak sofistikated dan mahal. Sekali pandang, memang nampak seperti dibikin pakar-pakar Suzuki secara rahsia dan tersorok di makmal yang terletak di pedalaman Jepun sana.
Namun Aprilia berjaya menggilap rekaan itu beberapa tahun kemudian dan bertindak memasarkan rekaan komponen tersebut menerusi model RS250, dan dijual pula pada harga berstatus selebriti dan jutawan kosmetik ketika itu. Pengeluaran RS250 juga tidak dibuat dalam skala besar untuk pasaran dunia. Apapun, Aprilia menjadi pengeluar yang berjaya mengilangkan komponen motosikal berkenaan.
YAMAHA YANG PERTAMA
Pujian dan kredit kepada Yamaha sebagai pengeluar besar pertama menggunakan teknologi Tuangan Acuan Vakum (Vacuum Die Casting - VDC). Dek teknologi hebat itulah terhasilnya pelbagai rekabentuk menarik yang tidak mustahil lagi dibikin pada masa kini. Sebelum itu, keseluruhan swingarm bengkok dibuat menggunakan bar logam yang dibentuk daripada tenaga paksaan (force) seperti komponen swingarm aluminium pada model R6 (2002).
Pada 2003, R6 juga menjadi model motosikal pertama menggunakan proses pembuatan dipanggil Tuangan Acuan Terkawal (Controlled Fill Casting - CFC) yang mempengaruhi bentuk swingarm (dan keseluruhan frem) model baharu tersebut. Secara tiba-tiba model itu menghasilkan konsep pembuatan motosikal menggunakan arca logam organik. Namun, kemasan akhir pada komponen disebutkan sukar diperhatikan kerana berwarna hitam.
BACA >>> #BikinMotorLaju: [SIRI 2] Pilih Tayar Prestasi Tinggi - Tip Pilih Saiz dan Jenis
Menurut Yamaha, teknik CFC ialah implementasi teknologi VDC, iaitu proses menyedut logam aluminium cair ke dalam acuan, dan bukan cuma dituangkan. Proses kejuruteraan tersebut menjadikan acuan lebih padat, mengurangkan ruang poros dan memastikan logam aluminium dapat mengalir dalam keseluruhan acuan. Teknik itu juga dapat menghasilkan produk yang lebih kukuh, ringan dan mampu dibentuk mengikut apa saja kehendak pereka.
LEBIH RINGAN DAN KUAT
Jurutera Yamaha, Dr Hiroshi Yamagata menjelaskan segala proses pembuatan tersebut seperti di bawah ini:
"Dengan teknologi CF (Controlled Fill), Yamaha mampu menghasilkan bahagian yang lebih ringan dan pada masa sama lebih keras berbanding acuan konvensional. Kami dapat mengawal ketebalan bahan dan mengubahnya mengikut kesesuaian bahagian acuan berbeza. Ini dilakukan supaya kami dapat menghasilkan komponen yang kuat dari segi struktur dan dapat mengurangkan berat pada bahagian yang tidak mengalami daya tekanan tinggi.
"Selain itu, kami juga dapat membentuk bahagian ini secara bebas dan menghasilkan bahagian permukaan komponen berkualiti tinggi. Proses kimpalan juga jadi lebih efektif seperti dapat dilihat pada lengan ayun bengkok R6 yang mengandungi dua produk acuan yang disambungkan secara vertikal.
"Dasar teknologi ini bertujuan mengoptimumkan kondisi aluminium panas yang mengalir ke dalam acuan. Objektifnya, menjadikan cairan aluminium dapat diisi dalam acuan dengan efektif supaya dapat diratakan (dalam acuan) sebelum proses pengerasan berlaku. Proses ini membolehkan Yamah menghasilkan bahagian aluminium lebih nipis, tetapi keras dan masih baik untuk dikimpal.
BACA >>> BMW Hasilkan Swingarm Gentian Karbon Versi Pengeluaran Massa?
"Proses CF ini juga memberikan ketepatan pada kawalan kondisi acuan, melibatkan (1) bahan kedap yang dibangunkan secara eksklusif antara dua bahagian acuan untuk menghasilkan kondisi vakum lengkap (lebih enam kali ganda berbanding metod konvensional lain), yang mengurangkan rintangan udara ketika cairan aluminium itu disedut ke dalam acuan, (2) mengawal suhu acuan supaya suhu aluminium kekal stabil sepanjang proses dan (3) meningkatkan kelajuan suntikan aluminium cair ke dalam acuan (lima kali lebih pantas) supaya isian acuan ideal dapat diperoleh," katanya.
LEBIH MUDAH DIKIMPAL
"Keputusan diperoleh dapat menghasilkan komponen aluminium tuang (cast aluminium) yang mengandungi 1/5 kandungan oksida jika dibandingkan metod konvensional proses tuangan acuan (die cast) aluminium. Ini menjadikan bahan ini senang dikimpal. walaupun nipis, komponen dihasilkan sangat kukuh dan kuat," kata Hiroshi lagi.
BACA >>> Suzuki Patenkan Enjin USD @ Terbalik, Swingarm Panjang dan Motor Jadi Lebih Stabil?
Sejak awal kemunculan teknologi tuangan vakum (vacuum casting) pada model R6 kira-kira 15 tahun lalu, hampir semua pengeluar mengadaptasi metod itu dalam menghasilkan pelbagai komponen aluminium yang kuat, cantik dan ringan. Namun, apakah teknologi berkenaan akan digantikan pula dengan teknologi gentian karbon seperti terdapat pada motosikal BMW HP4 Race?
SUMBER: Motorcycle.com
kah2870 says
Suzuki Fxr150 pun ada swing arm
Rubadub says
Kenapa bengkok?
azroy says
kenape Lc135 arm xsetle dgn ekor lampu .
bru kuor kedai pun dh senget
xde kualiti langsung
xberbaloi langsung dgn harganya
sepatutnya pihak yamaha kna kaji benda2 mcm tu .bkn hrga 7ringgit ni 7k lebih maa...