Kena buang cut-off dulu bro, baru boleh pergi lagi motor tu"
BAGI peminat modifikasi motosikal, 'buang cut-off' atau dalam erti kata lain, naikkan had rev (RPM) enjin adalah salah satu cara meningkatkan prestasi jentera. Ada pelbagai cara lain juga seperti menukar unit CDI atau ECU aftermarket, atau dengan flash ECU sedia ada.
Tetapi asasnya masih sama, enjin yang dibenarkan meligat lebih tinggi mampu menghasilkan lebih banyak kuasa dan ini disokong fomula kuasa itu sendiri: Kuasa = [Tork(Nm) x RPM] / 5252.
BACA >>> #TahukahAnda: 6 Perkara Tentang 'ECU Tuning' yang Perlu Anda Tahu
Berbeza motosikal dalam senarai di bawah ini. Dengan jumlah silinder lebih tinggi daripada kebiasaan, setiap satu jentera dengan enjin tidak lebih 250cc ini ada had rev (RPM) sangat tinggi. Malah menandingi had rev jentera MotoGP yang berkali ganda sesaran enjin mereka!
Sayang sekali, piawaian emisi yang semakin ketat dan fokus pengeluar dalam menghasilkan motosikal yang lebih praktikal dan mudah disenggara menjadikan jentera tersebut cuma tinggal kenangan dan hanya mampu ditatap generasi selepasnya.
1. SUZUKI GSX-R250R (1987-1990)
Sekitar penghujung era 80-an, Japanese Big Four, merujuk kepada empat pengeluar motosikal terbesar Jepun (Honda, Yamaha, Suzuki dan Kawasaki), masing-masing berlumba menghasilkan motosikal 4-lejang 250cc yang mampu menyaingi motosikal dua lejang 250cc dari segi output kuasa maksimum yang dibenarkan dalam kelas sesaran tersebut di Negara Matahari Terbit itu, yakni sekitar 45hp.
Hasilnya adalah motosikal 4-lejang 250cc dengan 4-silinder sebaris yang didakwa mampu mencapai kuasa maksimum sekitar 39hp - 45hp dengan had rev sangat tinggi berbanding biasa, iaitu sekitar 18,000rpm. Malah mampu dikerah sehingga 20,000rpm.
Memulakan senarai ialah GSX-R250R buatan Suzuki yang menjadi jentera pilihan Kotaro MInami aka Masked Rider Black dengan rev maksimum sekitar 18,000rpm! Terdapat juga versi SP (Sports Production), tetapi tidak seperti pengeluar lain di bawah, perubahan versi SP cuma pada kotak gear dan suspensi belakang.
2. YAMAHA FZR 250R (1986-1995)
Generasi hari ini lebih mengenali sportbike 2-lejang legenda, Yamaha TZR 250, tetapi FZR 250R yang dihasilkan dalam tempoh sama juga bukan calang-calang. Daripada maklum balas dan catatan pemilik di blog serta forum Internet, FZR 250 mampu dilenjan lebih tinggi daripada jentera Suzuki di atas dengan had rev sekitar 18,500rpm.
3. HONDA CBR250RR (1986-1996)
Asalnya dilancarkan sebagai CBR250FOUR pada 1986 dengan rekaan fairing separuh. Kemudiannya diubah kepada rekaan fairing penuh pada 1987 dan dinamakan sebagai CBR 250R. Sportbike 250cc 4-silinder Honda ini hanya menerima pangkat tertinggi, iaitu RR dengan pelancaran CBR 250RR pada 1990 hingga 1996.
Sepanjang lebih kurang sedekad dikeluarkan, CBR250 versi 4-silinder mengalami banyak perubahan rekabentuk dan spesifikasi. Jika berminat, versi kod MC22 (1990-1993) adalah pilihan terbaik ilham rekaan 'baby Fireblade' dan had rev masih dikekalkan pada 19,000rpm berbanding keluaran seterusnya yang dihadkan lebih rendah, 18,500rpm dan kuasa 40hp.
4. KAWASAKI NINJA ZXR-250 (1988-2004)
Ninja ZXR-250 ialah jentera 250cc 4-silinder terakhir yang berada di pasaran, khususnya Malaysia. Model ini ditawarkan secara rasmi pada 1988 hingga ditamatkan pengeluaran pada 2004.
Cukup berkuasa dalam keadaan standard, jentera ini turut ditawarkan dalam versi SP atau Sports Production pada 1990-1993 dengan menawarkan komponen kuasa seperti karburetor Keihin CVKD 32mm, kotak gear nisbah berbeza, ekzos lebih besar dan CDI yang menghapuskan sekatan kuasa enjin dengan had rev ditetapkan pada 19,000rpm.
BACA >>> Kawasaki Ninja ZXR250 - Legenda Superbike Mini, 4-Silinder 250cc!
Sebelum membaca kepada 3 entri terakhir, di bawah ini adalah video perbandingan antara empat model jentera superbike mini di atas. Tapi maaf, dalam bahasa Jepun sahaja. 😉
Tiga motosikal terakhir ini pula boleh dikatakan pencapaian terbesar dalam sejarah motosikal 4-lejang. Dihasilkan cuma untuk tujuan perlumbaan bagi membuktikan motosikal 4-lejang juga mampu menandingi jentera 2-lejang yang menjadi pilihan popular siri perlumbaan kejuaraan dunia era 1960-an.
Tanpa regulasi ketat seperti sekarang, setiap enjin motosikal era 60-an ini dibina dengan bilangan silinder di luar kebiasaan dan imaginasi pencinta dua roda masa kini, sekali gus membolehkan rev enjin menjangkau 20,000rpm!
5. HONDA RC166 (1966-1967)
Honda memulakan penglibatan mereka dalam perlumbaan siri 250cc Kejuaraan Dunia Grand Prix (nama asal MotoGP era 60-an) pada 1960 dan berjaya memenangi beberapa siri perlumbaan untuk tiga tahun seterusnya. Namun, kekalahan berturut-turut pada 1964 dan 1965, Honda tekad merampas kembali takhta pada 1966 .
Hasilnya ialah RC166 berenjin 249.42cc DOHC 6-sebaris (ya, 250cc ENAM silinder) penyejukan udara yang berkuasa lebih 60hp pada 18,000rpm, dengan kelajuan maksimum lebih 240kmj! Ditunggang Mike Hailwood, RC166 mendominasi perlumbaan kelas 250cc tahun itu dengan memenangi 10 daripada 12 pusingan.
6. HONDA RC149 (1966)
Jentera lumba ini ialah motosikal 125cc terakhir Honda pada era awal Kejuaraan Dunia Grand Prix. RC149 turut menjadi taruhan Honda pada kejuaraan 1966 untuk kelas 125cc yang merupakan jentera 5-silinder pertama Honda sebelum RC211 sebagai jentera 4-lejang pertama bagi kelas premier MotoGP bermula 2002.
Menakjubkan, enjin 124.42cc penyejukan udara DOHC 5-sebaris itu mampu menghamburkan kuasa melebihi 34hp pada rev sangat tinggi, iaitu 20,500rpm dengan kelajuan maksimum 210kmj! Jentera ditunggang pelumba Switzerland, Luigi Taveri membawa Honda menjuarai kelas 125cc tahun itu dengan memenangi 5 daripada 10 pusingan.
7. HONDA RC116 (1966)
Pada era 60-an, perlumbaan motosikal turut meliputi kelas 50cc. Ya, memang tidak tersilap, cuma 50cc dan perlumbaan kelas ini turut diberikan julukan lumba 'teacup' (cawan teh), sesuai saiznya. Selain RC166 dan RC149, Honda meletakkan RC116 sebagai taruhan mereka untuk kelas 50cc pada Kejuaraan Dunia GP 1966.
Dengan enjin 4-lejang bersesaran 49.8cc DOHC 2-silinder dengan transmisi 9-kelajuan, jentera cilik ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 14hp pada rev setinggi 21,500rpm! Bagaimanapun, motosikal ini cuma menduduki tempat kedua, diatasi jentera 2-lejang Suzuki RK67 yang tidak kurang gila, berkuasa 17hp pada 17,300rpm dan transmisi 14-kelajuan. Namun, masih melayakkan Honda menduduki semula takhta sebagai pengeluar motosikal bertaraf dunia tahun tersebut.
Menariknya, Honda RC116 ini dilengkapi brek cakera depan jenis kaliper, sama seperti brek basikal biasa. Seperti yang anda bayangkan, bunyi je gempak, pergi macam.... 😀
Leave a Reply