YAMAHA Motor Corporation USA mendedahkan jentera motocross YZ65 serba baharu yang dibangunkan khas untuk penunggang kecil dengan menampilkan enjin, casis, suspensi, dan rekabentuk badan serba baharu. YZ65 (2018) bakal berentap dengan pesaing sekelas seperti KTM 65 SX dan Kawasaki KX65.
YZ65 (2018) dibina untuk memberikan perasaan pengalaman perlumbaan sebenar kepada penunggang cilik seperti mana pelumba dewasa. Dengan ketahanan dan prestasi terbaik, jentera dirt bike mini Yamaha itu pastinya menjanjikan nilai wang hebat kepada ibu bapa yang mahu berikan yang terbaik buat anak mereka.
BACA >>> Wyatt Thurman, Baru 7 Tahun Sudah Menang Kejuaraan Motocross
Barisan motocross Yamaha YZ sememangnya dilengkapi ciri teknologi dan prestasi terkini yang menumpukan kepada pembuatan jentera berkualiti bagi membantu pelumba meraih keputusan terbaik atas trek.
Dijana enjin 2-lejang 64.8cc penyejukan cecair dengan ambilan injap-reed dan Sistem Injap Kuasa Yamaha (Yamaha Power Valve System - YPVS), YZ65 dibikin untuk prestasi trek dan mudah dikendalikan. Malah, enjin YZ menawarkan ketahanan dan reliabiliti yang membolehkan si penunggang pergi lebih jauh.
ERGONOMIK DIPERTINGKAT, CASIS SERBA BAHARU
Struktur kerangka baru, terdiri daripada frem keluli sangga semi ganda (semi-double-cradle), subfrem aluminium boleh tanggal dan lengan ayun aluminium membolehkan YZ65 beraksi lincah dan meyakinkan. Rekaan pelana rata memberikan fiil ergonomik selesa, termasuk bar hendal aluminium boleh laras 4-tetapan yang dapat disesuaikan mengikut tahap keselesaan dan saiz penunggang muda.
Bahasa rekabentuk YZ dapat dikesan menerusi garis horizontal, gaya badan, warna dan grafik yang mirip model taruhan Yamaha YZ450F.
SUSPENSI SPRING KOIL KYB® MUDAH TALA
Berasaskan prestasi trek, YZ65 (2018) dipasangkan fork spring koil KYB® 37mm boleh laras sepenuhnya. Hasilnya, tunggangan jentera itu jadi cukup mantap dan bersedia meredah sebarang laluan berbonggol. Karakter redaman absorber KYB® pula direka khas supaya sesuai dengan casis baharu YZ65 (2018).
HARGA, WARNA
YZ65 (2018) dijual pada harga AS$4,599 (RM18,131) dan didatangkan dalam warna Team Yamaha Blue (biru) serta dijadualkan berada dipasarkan bermula April ini bagi membolehkan jentera ini berentap dalam Kejuaraan Kebangsaan Motocross Amatur AMA Loretta Lynn.
Maklumat lanjut mengenai YZ65 (2018) boleh dibaca di YamahaMotorsports.com/motocross. Perincian mengenai program sokongan penunggang bLU cRU, termasuk peluang demonstrasi dan sekolah memandu, boleh layari YamahaMotorsports.com/sport.
GALERI
SUMBER: Motorcycle.com
Leave a Reply