KIA Grand Carnival versi pemasangan tempatan (CKD) diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan menampilkan tambahan beberapa pengemaskinian terkini tanpa sebarang kenaikan harga. Menurut Naza Kia Malaysia, selaku pengedar rasmi jenama Kia di negara ini, Grand Carnival CKD didatangkan dalam 2 varian: EX dan KX.
Setiap varian dilengkapkan sistem infotainment skrin sentuh bersaiz 8-inci yang siap dengan perisian mobil, Apple CarPlay dan Android Auto. Menerusi dua perisian itu, pengguna kini boleh mengakses pelbagai fungsi telefon pintar secara terus daripada skrin infotainment seperti peta dan navigasi, panggilan, mesej dan muzik.
BACA >>> Apakah Android Auto? Ketahui Fakta Lengkap Tentang Aplikasi Bebas Tangan Memandu Ini
Bagi lebih keselesaan, Grand Carnival CKD turut menyediakan punat Bluetooth pada roda stereng yang memudahkan pengguna mengaktifkan ciri wayarles itu semudah mengetik jari tanpa perlu mengalihkan tangan dari stereng.
Lagi? Kenderaan pelbagai guna (MPV) itu juga dibekalkan Cermin Pandang Belakang Kromik Elektro yang akan malap automatik apabila ada lampu kenderaan di belakang tersuluh permukaan cermin. Fungsi ini banyak membantu mengurangkan masalah silau dan ketidakselesaan pemandu ketika memandu malam tanpa perlu kerap melaraskan cermin pandang belakang sepanjang masa.
BACA >>> Kia Grand Carnival Selamat Lancar, Harga Bermula RM153,888
Naik taraf spesifikasi lain termasuk bilah pengelap Aeroblade dan penyaman udara tri-zone bagi varian KX yang pastinya cukup sempurna untuk pemanduan dalam cuaca tropika seperti Malaysia. Berikut harga kedua-dua varian Grand Carnival CKD:
- Grand Carnival 2.2D KX (CKD) - RM161,191.63 (atas jalan, termasuk GST dan pendaftaran, tanpa insurans).
- Grand Carnival 2.2D EX (CKD) - RM180,667.99 (atas jalan, termasuk GST dan pendaftaran, tanpa insurans).
Setiap pembelian datang bersama waranti 5 tahun dengan perbatuan tanpa had.
Berminat? Sila kunjungi bilik pameran Kia terdekat seluruh negara hari ini untuk melihat secara live Grand Carnival CKD, termasuk memandu uji MPV 7-8-tempat duduk itu!
Leave a Reply