TAHUKAH anda memiliki lesen B2 atau B penuh belum cukup melayakkan anda menunggang motosikal?
Ramai anak muda menganggap apabila sudah boleh menunggang motosikal bapa mengelilingi taman dan lulus ujian sekolah memandu, itu sudah cukup menjadikan mereka penunggang sah. Hakikatnya, masih ramai penunggang tidak berpengalaman meletakkan diri dalam risiko kemalangan jalan raya.
Sememangnya diakui, silibus sekolah memandu lebih banyak menumpukan kepada aspek kelayakan dari segi undang-undang, tetapi belum cukup mengajar mengenai asas motosikal. Tanpa perlu menyalahkan sekolah memandu 100 peratus selepas mengambil kira situasi ekonomi rakyat Malaysia, mungkin kelas tunggangan lengkap sukar dianjurkan atas faktor kos dan kekangan masa.
BACA >>> Kajian: Remaja Britain Tidak Mampu Bayar Lesen Memandu (Mahal Sangat!)
Jadi, sebagai rujukan untuk mula belajar menunggang sendiri secara lanjutan, berikut adalah antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian:
1. KAWALAN SKUTER AUTOMATIK ATAU MOTOR KLAC MANUAL
Nampak mudah, tapi mungkin anda pernah terdengar cerita rakan-rakan yang terlanggar tembok atau pagar kerana terpulas pendikit ketika menghidupkan skuter.
Atau bagaimana pemilik kapcai klac tangan atau mati, terkapai-kapai di lampu isyarat kerana tidak tahu mendapatkan gear neutral apabila enjin mati tiba-tiba. Ini kerana cara mengendalikan motosikal klac tangan tidak diajar kepada pemilik lesen B2.
Ini bukan kelakar, kegagalan mengendalikan skuter automatik atau motosikal klac tangan seperti di atas menjadi penyebab kepada kerosakan dan kemalangan. Seeloknya, dapatkan nasihat rakan berpengalaman jika baru kali pertama menunggang motosikal sebegini, atau boleh rujuk tip yang terdapat dalam laman blog atau YouTube.
2. ASAS AMBIL SELEKOH
Tidak seperti kereta, mengambil selekoh dengan motosikal lebih rumit, terutama pemilik lesen B2 kerana jentera yang ditunggang uji ialah kapcai. Apabila menaik taraf kepada motosikal lebih berkuasa, seperti streetbike atau sportbike 250cc (yang masih dalam kelas memandu B2), cara membelok dengan hanya memberatkan sebelah badan saja masih tidak cukup untuk menukar arah motosikal.
Kaedah sebenar adalah secara stereng-balas atau counter-steering, iaitu hendal ditolak ke arah bertentangan ketika mula mengambil selekoh. Antara salah tanggapan umum, teknik ini hanya sesuai untuk motosikal lebih besar atau perlumbaan, tetapi penunggang motosikal lebih kecil sebenarnya turut mendapat manfaat daripada pemahaman konsep counter-steering.
Kami sarankan anda menonton video Twist of The Wrist II daripada pengajar teknik tunggangan motosikal terkemuka, Keith Code atau seperti sebelum ini, rujuk artikel-artikel dalam blog dan YouTube yang banyak menyentuh bab tunggangan ini.
3. MENUNGGANG DALAM CUACA MENCABAR
Kemahiran tunggangan dalam cuaca mencabar seperti hujan perlu ada dalam diri penunggang Malaysia kerana negara ini kerap menerima taburan hujan sepanjang tahun. Sayangnya, tidak difokuskan dalam silibus sekolah memandu.
Seperti biasa, tip sebegini boleh didapati dalam Internet. Namun, bagi memahirkan diri dan meningkatkan keyakinan menunggang dalam cuaca licin dan basah menerusi kaedah lebih selamat, kami sarankan anda menyertai kelas tunggangan dirt-bike seperti diadakan di Most Fun Gym. Jika anda belum tahu, kelas ini diasaskan legenda GP Malaysia sendiri, Oh Kah Beng yang kini sudah berumur lebih 60 tahun.
4. PENYENGGARAAN ASAS MOTOSIKAL
Dalam kelas memandu, apa yang biasa diterangkan adalah kepentingan pemeriksaan motosikal seperti memeriksa lampu brek, signal dan sebagainya sebelum memulakan perjalanan. Tetapi tiada asas penyenggaran dimasukkan dalam senarai silibus. Tanya saja mana-mana penunggang muda atau baru, masih ramai kalangan mereka tidak tahu atau sengaja mengabaikan hal-hal penyenggaraan motosikal.
Jangan hanya bergantung kepada tempoh servis saja, atau sekadar meminta mekanik untuk memeriksa kondisi. Ini kerana mungkin masa itu segalanya sudah terlewat. Amalkan membuat pemeriksaan sendiri dan tabiat itu pasti banyak membantu dalam mencegah masalah lebih rumit terjadi.
BACA >>> 5 Rutin Asas Penyenggaraan Motosikal yang Kerap Penunggang Abaikan
5. KEPENTINGAN BUKU MANUAL
Apakah anda masih ingat ke mana kali terakhir anda letakkan buku manual motosikal? Jika masih ingat, simpan buku manual motosikal itu di tempat selamat dan rajin-rajinkan diri untuk menyemak isi kandungannya. Mungkin anda tidak sedar, kebanyakan masalah yang anda luahkan dalam grup Facebook, contohnya, boleh diselesaikan dengan merujuk buku manual motosikal.
Bagaimana pula jika hilang? Usahakan untuk dapatkan semula salinan itu daripada rakan-rakan lain. Namun, dengan kemudahan media sosial dan enjin carian masa kini, tidaklah sesukar mana mahu mendapatkan manual motosikal di Internet dalam bentuk fail PDF.
BACA >>> 6 Tip Memandu Malam Supaya Kekal Selamat Sepanjang Perjalanan
Leave a Reply