POLIS Kelantan menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan memasuki negeri itu menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Sabtu ini.
Jangkaan ini dibuat berdasarkan trend tahunan dan budaya masyarakat tempatan yang gemar pulang ke kampung semasa musim perayaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, situasi ini hampir sama dengan sambutan Aidilfitri dan menyebabkan peningkatan trafik di jalan utama negeri, terutama di laluan masuk ke Kota Bharu, Pasir Mas dan Gua Musang yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan kemalangan.
Beliau turut menasihatkan anak Kelantan yang pulang dari perantauan agar mengekalkan disiplin pemanduan seperti ketika berada di negeri luar dan tidak mengubah sikap apabila memasuki sempadan Kelantan.
Antara kesalahan biasa yang sering berlaku adalah memotong barisan dan memandu secara mementingkan diri.
Tambah beliau, sikap berhemah di jalan raya bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah mengurangkan tekanan pengguna lain dan membantu kelancaran aliran trafik sepanjang tempoh puncak perayaan.
Polis Kelantan juga akan melaksanakan penugasan khas melalui Op Lancar dan Op Selamat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta membendung risiko jenayah sepanjang musim Aidiladha.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply