KAMI sering menerima pertanyaan adakah berbaloi beli atau jual kereta sambung bayar? Apakah risikonya? Dua tiga hari lalu, tular satu video (tonton video bawah) sekeluarga menjahanamkan sebuah kereta jenis Honda yang mahu ditarik ejen tunda.
Berdasarkan maklumat media sosial, kereta itu sebenarnya dibeli secara sambung bayar, dan terpaksa ditarik kerana pemilik asal memiliki tunggakan ansuran bank selama lapan bulan.
Menurut sumber, kereta itu asalnya sudah dicangkuk naik ke trak tunda, tetapi pemilik bertindak memandu turun ke dalam garaj rumahnya hingga menyebabkan bampar pecah sebelum dirosakkan menggunakan objek batu dan besi.
JUAL BELI TIDAK SAH WALAUPUN ADA PERJANJIAN?
Ada cakap, surat perjanjian sudah buat, apa nak takut? Tapi tahukah anda, sebarang perjanjian jual beli tanpa pengetahuan bank adalah tidak sah di mahkamah.
Jadi pemilik asal kekal bertanggungjawab ke atas ansuran bank dan saman trafik ke atas kereta tersebut. Naya!
Jika anda berhajat mahu beli kereta sambung bayar, sudah tentu kami cakap JANGAN! Kenapa? Berikut kami senaraikan risiko yang perlu anda hadapi jika membeli kereta sambung bayar.
1. Duit Sudah Beri Tapi Pemilik Asal Tidak Bayar Ansuran Bank
Ini sama kes macam video yang sedang tular sekarang ini. Katanya wang sudah diberikan kepada pemilik asal, tetapi malangnya wang tersebut tidak pula digunakan untuk membayar ansuran bank.
Tidak perlu tunggu hingga lapan bulan, bank sebenarnya akan menghantar notis amaran (ke alamat didaftar) jika pemilik gagal membayar ansuran dua bulan berturut-turut, dan diberikan tempoh 21 hari untuk menjelaskan tunggakan.
Tamat 21 hari, dan selepas 14 hari, barulah bank akan melantik tukang tarik kereta (dipanggil Ejen Perolehan Semula, EPS) untuk mencari dan menarik kereta anda.
Kalau sudah lapan bulan tertunggak, itu bermakna lama juga masa diambil EPS untuk mencari dan mengesan kereta berkenaan.
2. Pemilik Asal Meninggal Dunia
Bayangkan pemilik asal kereta sambung bayar itu meninggal dunia, maka waris pemilik berhak meminta anda mengembalikan kereta tersebut walaupun ada perjanjian. Waris tidak peduli siapa anda sebab surat perjanjian anda tidak sah di mahkamah.
3. Tidak Dapat Tukar Nama
Katakan anda sudah habis melangsaikan ansuran sama ada terus ke bank, orang ketiga atau pemilik asal sendiri, adakah anda yakin nama pemilikan kereta itu akan bertukar?
Apa jadi kalau pemilik asal mahu ambil kembali kereta dia? Mahu larikan kereta?Mahu tidak mahu perlu serahkan kembali kereta itu. Ingat, perjanjian antara anda dan pemilik asal tidak sah tanpa pengetahuan bank.
4. Kereta Tidak Boleh Jual Kepada Orang Lain
Selagi nama dalam geran kereta (dipanggil sijil pemilikan kenderaan, VOC) tidak bertukar, anda tidak boleh jual kereta itu kepada orang lain walaupun hutang sudah langsai.
Proses menukar hak milik memerlukan kereta anda diperiksa di Puspakom sebelum menukar nama di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Untuk proses menukar nama pula, pemilik asal perlu hadir ke JPJ. Bagaimanakah jika pemilik asal sudah meninggal dunia? Jawapannya, gunalah kereta itu sampai akhir hayat. Itupun jika tiada mana-mana waris datang menuntut.
5. Tiada Tuntutan Insurans
Apabila berlaku kemalangan 'total lost', kos ganti rugi akan diberikan terus kepada pemilik asal kereta.
Adakah anda yang bayar ansuran setiap bulan akan menerima pampasan itu. Jawapannya, TIDAK MUNGKIN! Penat-penat bayar setiap bulan, akhirnya satu sen pun tak dapat.
6. Risiko Dituduh Kereta Curi
Ada juga kemungkinan anda disyaki pencuri jika pemilik asal buat repot polis yang mendakwa kereta dia dicuri. Anda mungkin tunjukkan surat perjanjian kononnya sudah ditandatangani. Malangnya, itu bukan tandatangan sebenar pemilik asal. Dia tipu sign!
Akhirnya, anda pula dijemput menginap di tirai besi sambil dijamukan masak lemak cili api (kalau ada).
7. Ingat, Surat Perjanjian Tidak Laku
Sekali lagi diingatkan, walaupun ada perjanjian antara anda dan pemilik asal kereta tersebut, semua itu tetap tidak laku. Pemilik asal kekal memiliki kuasa mutlak ke atas keretanya, dan bila-bila masa dia boleh minta balik kereta tersebut.
Leave a Reply