NILU27 ialah nama baharu dalam pengeluar kereta hiper (hypercar), tetapi bukan bagi pengasasnya, Sasha Selipanov. Beliau pernah berkhidmat selama 11 tahun bersama Kumpulan Volkswagen dan terlibat dalam projek Volkswagen, Bugatti dan Lamborghini.
Bersama Kumpulan Volkswagen, beliau dilantik sebagai Ketua Pereka Luaran Bugatti dan mengetuai pembangunan rekabentuk luaran Vision GT dan Chiron.
Sasha kemudian berpindah ke Genesis sebelum ke Koenigsegg sebagai Ketua Pereka yang memainkan peranan penting dalam rekabentuk Gemera dan CC850.
Selepas berkhidmat dengan syarikat automotif ternama, beliau bersama Inna Selipanov mengasaskan Nilu27.
Model pertama Nilu27 ialah hypercar Nilu yang berbeza daripada trend industri automotif, iaitu tanpa elektrifikasi, elemen pendigitalan dan bantuan teknologi canggih lain.
Matlamat Sasha adalah menghasilkan sebuah kereta dengan rekabentuk segar, tetapi masih biasa dilihat. Sekali pandang, Nilu akan terus menarik perhatian dengan rekabentuk menonjol yang masih memiliki keanggunan tersendiri. Berikut ciri dimiliki Nilu:
Luaran
- Mengambil ilham jentera lumba Formula Satu (F1) 60-an dan Le Mans, rekabentuk rumah klasik Itali, falsafah form follows function Bauhaus, kereta muscle klasik Amerika, kereta drift, matematik dan muzik metal avant garde.
- Rekabentuk luaran yang memiliki fungsionaliti dan aerodinamik.
- Rekabentuk permukaan kemas dan dikontra dengan ruang enjin mekanikal terdedah.
Dalaman
- Kabin direka untuk sudut pandang sempurna dengan ciri ergonomik dan keselamatan ideal.
- Pereka berjaya menghasilkan garisan bumbung yang sangat rendah dan dimensi kabin kompak tanpa mengorbankan keselesaan.
- Dua kerusi dengan fungsi keluar dan masuk kabin terbaik dalam kelas berikutan penggunaan pintu buka atas (gullwing door) dan kerusi tenggelam serta tetap yang tidak menghalang bukaan pintu dengan bonjolan sisi kerusi.
- Suis kawalan manual dan analog.
- Satu-satunya skrin adalah untuk kamera bagi menangani kelemahan tradisional enjin tengah (midnengine) yang sukar untuk melihat pandangan belakang.
- Stereng tanpa suis dan tombol untuk tetapan mod pandu dan sebagainya.
- Stereng boleh laras, kotak pedal, penyandar kepala, cermin sisi dan beberapa perkakasan lain secara manual.
Casis, Suspensi, Brek, Rim
- Karbon monokok dengan subfrem tiub (tubular) aluminium-aloi.
- Rekaan tiub sengaja dipilih bagi meningkatkan laluan kepada komponen trenpacu (drivetrain) selain memudahkan pengeluaran haba dan estetika mekanikal.
- Suspensi rod tunjal wishbone ganda (double wishbone).
- Komponen brek seramik karbon Brembo dengan kaliper putih.
- Tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R saiz 265/35 R2 di depan, dan 325/30 R21 (belakang).
- Rim Nilu27 saiz 10x20 inci depan dan 13x21 inci di belakang. Rim adalah rekaan sendiri Nilu27 dan dikeluarkan AppTech di Itali.
Trenkuasa
- Enjin petrol aspirasi natural (NA) 6.5L, V12 80º tanpa kuasa pendesak seperti turbo atau elektrifikasi.
- Hasil kerjasama dengan Hartley Engines daripada New Zealand.
- Disasarkan untuk menjadi hypercar NA paling berkuasa dunia dengan output kuasa lebih 1,000hp.
- Dimensi gerek besar dan lejang pendek menjadikan rev seperti motor elektrik.
- 12 badan terotel besar untuk respons terotel serta-merta.
- Posisi injap masukan dan ekzos berganti tempat untuk pengeluaran haba, packaging dan estetik.
- Sistem ekzos cetakan 3D menggunakan Inconel, sejenis super aloi berasaskan nikel-kromium.
- Transmisi manual 7-kelajuan CIMA.
Pada peringkat awal, pengeluaran Nilu dihadkan 15 unit sahaja dengan model prototaip awal dan kumpulan pertama dipasang Kumpulan Aria di Irvine, California, Amerika Syarikat (AS), manakala fasiliti pengeluaran Nilu27 bersedia sepenuhnya.
Pada masa sama, Nilu27 akan membangunkan lebih banyak model jalanan, tetapi terhad 54 unit sahaja. Empat unit hadir dalam rekabentuk unik dan one-off.
Leave a Reply