SEBUAH kereta jenis Proton Persona dengan dua anak kecil di dalam dilaporkan menggeluncur dan merempuh gerai peniaga di bazar Ramadan di Kuala Klawang di Jelebu, Negeri Sembilan kira-kira jam 5.45 petang, Selasa lalu.
Rempuhan itu menyebabkan peniaga lelaki berumur 40 tahun melecur 25 peratus badan membabitkan bahagian belakang badan, paha dan betis kaki kiri akibat terkena minyak panas dalam kuali.
Penjaga itu dilaporkan meninggalkan dua anak kecil berumur 6 tahun dan 2 tahun dalam kereta tersebut tanpa pengawasan dengan enjin dihidupkan.
Kedua-dua ibu bapa kanak-kanak tersebut dipercayai keluar membeli makanan dan polis mengesyaki anak kecil itu mungkin bermain brek tangan kereta tersebut sebelum insiden berlaku.
Dua kanak-kanak kecil dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan, manakala peniaga malang itu dihantar ke Hospital Jelebu sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Polis masih menyiasat kes tersebut di bawah Rule 14(1)(A) LN 166/59 (tidak mematikan enjin ketika meninggalkan kenderaan).
Orang ramai yang ada maklumat kejadian boleh tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan atau hubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jelebu, Sarjan Azani Jusoh di talian 016-9752980.
SUMBER: Bernama | Harian Metro
Leave a Reply