AKHIR bulan lalu, Suzuki Motor USA mengumumkan tawaran Suzuki Katana (2024) Edisi Terhad untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) tetapi tidak mendedahkan jumlah unit disediakan untuk pembeli pada harga jualan AS$13,879 (RM65,590).
Pelanggan AS yang berminat boleh membuat tempahan menerusi rangkaian pengedar hingga 20 Oktober ini dan stok adalah terhad mengikut 'siapa cepat, dia dapat'.
Suzuki Katana (2024) Edisi Terhad itu hadir dalam skema warna Metallic Matte Stellar Blue (biru kusam) dengan unit fork dan set rim aloi emas.
Trenkuasa dijana enjin 999cc daripada Suzuki GSX-R1000 dengan hantaran tork kuat pada julat rendah-sederhana, dan dibantu terotel badan baharu, Suzuki Ride-by-Wire.
Naik taraf lain membabitkan penegang rantai sesondol dan naik taraf pelaras tegangan, profil aci sesondol baharu, spring injap baharu dan kemasan enjin diperbaharui.
Model ini didatangkan dengan Sistem Bantuan Klac Suzuki menerusi Quickshifter dwi-arah, dan Sistem Tunggangan Pintar Suzuki (SIRS), terdiri daripada tiga mod tunggang, lima mod kawalan traksi, sistem penghidup enjin mudah dan bantuan rev rendah.
Malah, Suzuki juga merekabentuk semula ekzos Katana.
SUMBER: RideApart
Leave a Reply