POLIS menahan pemandu Perodua Alza yang tular dalam satu klip video memaparkan kenderaan pelbagai guna (MPV) itu menggunakan lampu mata arah (strobe light) di KM136.8 Lebuh Raya Utara Selatan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pemandu lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an itu ditahan jam 6.18 petang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Beliau berkata;
Polis mengesan satu rakaman video yang dimuat naik pemilik akaun Facebook Thai Khor pada jam 4.20 petang, 15 Jun 2023 memaparkan sebuah kenderaan menggunakan lampu mata arah di lokasi itu tetapi tarikh dan masa tidak dapat dipastikan.
“Susulan video tular itu, polis berjaya menahan pekerja swasta berkenaan dan merampas satu set lampu mata arah yang digunakan ketika kejadian.”
Saman dikeluarkan di bawah Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59, iaitu mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
Cheng San berkata, pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan lampu mata arah pada kenderaan persendirian adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.
SUMBER: MalaysiaGazette
Leave a Reply