ROYAL Enfield mengambil keputusan untuk membuka sebuah kilang motosikal di Nepal untuk aktiviti pemasangan dua model iaitu Classic 350 dan Scram 411. Kedua-dua model itu akan dijual kepada pengguna negara berkenaan.
Perkara itu direalisasikan dengan kerjasama Triveni Group untuk pendirian kilang baharu di bandar metropolitan Birgunj di Nepal. Kilang tersebut akan menerima komponen motosikal dari kilang utama Royal Enfield di Tamil Nadu, India.
Sebagai permulaan, kilang baharu itu dijangka menghasilkan 20,000 unit motosikal setahun dan jumlah itu boleh ditingkatkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan prestasi pasaran di Nepal.
Royal Enfield memiliki keyakinan terhadap pasaran Nepal yang mencatat jualan kira-kira 1.6 juta unit motosikal setahun dengan hampir 65 peratus jumlah itu membabitkan segmen lebih 150cc.
Sebelum ini, Royal Enfield ada membuka kilang pemasangan tempatan di Brazil.
SUMBER: BikeWale
Leave a Reply