PELUMBA terkenal dari Jerman, Hans Stuck menaruh impian mencatat rekod kelajuan darat terpantas dunia secara peribadi dan dan juga untuk negaranya.
Pada penghujung 1930-an, beliau bertungkus-lumus menyusun pasukan untuk meraih cita-cita itu. Sehingga pada 1937, beliau berjaya meyakinkan Pengerusi Daimler-Benz AG ketika itu, Wilhelm Kissel untuk membangunkan dan membina jentera ikonik yang turut dipersetujui Dr Ferdinand Porsche sebagai pereka untuk model T80.
Projek Stuck itu juga mendapat kelulusan pemimpin diktator Jerman, Adolf Hitler yang mahu menjadikan rekod itu sebagai alat propaganda untuk menunjukkan keunggulan teknologi Jerman.
Jentera itu secara rasmi dikenali sebagai Mercedes-Benz T80 atau Type 80. Pada awalnya Porsche mensasarkan kelajuan maksimum 550kmj dengan enjin yang mampu meledakkan kuasa setinggi 2,000hp.
Bagaimanapun, pencabar lain sudah mula mengatasi rekod tersebut. Justeru, sasaran kelajuan T80 juga dipertingkat, dan apabila hampir siap pada 1939, kelajuan dicapai adalah setinggi 600kmj dalam jarak pecutan 6km tanpa henti.
Kos pembinaan T80 bernilai 600,000 Reichsmarks, atau kira-kira AS$4 juta (RM17.9 juta) mengikut nilai dolar Amerika hari ini.
Pakar aerodinamik, Josef Mikcl membantu menyelaras badan kereta, yang dibina pengeluar pesawat Heinkel Flugzeugwerke. T80 didatangkan dengan ruang kokpit tertutup direka Porsche dan juga fender bulat.
Roda belakang diletakkan sirip ekor memanjang bagi membantu menstabilkan kenderaan pada halaju tinggi. Dua sayap kecil di tengah mampu memberikan daya mendap (downforce) dan menjaminkan kestabilan kereta. Badan ekor kembar yang diperkemas dengan sangat teliti itu dapat mencapai pekali seretan (drag coefficient) 0.18, iaitu angka yang cukup memuaskan walaupun mengikut piawaian masa kini.
Kereta tersebut mempunyai tiga gandar, iaitu depan dengan stereng, dan dua gandar di belakang. Ia dikuasakan enjin pesawat V12 Daimler-Benz DB 603 44,500cc. Enjin supercas DB 603 dengan suntikan bahan api (FI) mekanikal itu juga ditala khas untuk menghasilkan kuasa 3,000hp.
Kuasa enjin disalurkan kepada keempat-empat roda pacu melalui konverter tork hidraulik kepada pemacu akhir 1-kelajuan. Bagi mengekalkan daya tarikan, T80 didatangkan dengan 'kawalan anti-putaran'.
Roda depan dan belakang ada sensor untuk mengesan putaran roda secara mekanikal. Jika roda belakang mula berputar lebih laju daripada depan, bahan api ke enjin akan dikurangkan secara automatik.
T80 secara tidak rasmi juga digelar Hitler sebagai Schwarzer Vogel (Burung Hitam), dicat warna nasionalistik Jerman yang lengkap bersama dengan lencana burung German Eagle dan simbol Swastika.
Stuck memandu T80 atas laluan khas Dessau Autobahn (kini sebahagian Autobahn A9 moden) dengan lebar 82 kaki (25 m) dan panjang 10km serta median berturap. Percubaan rekod ditetapkan pada Januari 1940 dan menjadi percubaan rekod kelajuan darat pertama di Jerman.
Bagaimanapun, insiden perang menyebabkan ujian T80 tidak dapat dilakukan. Malah, sentuhan akhir kenderaan itu juga tidak pernah selesai dan tidak pernah bergerak dengan kuasa sendiri.
Selepas percubaan rekod dibatalkan, T80 pun disimpan sebelum enjin DB 603 dikeluarkan pada akhir Februari 1940.
Kereta itu disimpan di Karnten, Austria sepanjang tempoh perang. Mercedes-Benz T80 juga tidak pernah dikenali luar Jerman hingga kereta itu ditemui pasukan Berikat selepas Perang Dunia Kedua tamat.
T80 terselamat dalam peperangan dan langsung tidak terjejas serta akhirnya dipindahkan ke Muzium Mercedes-Benz di Stuttgart. Kereta itu kini dipamerkan secara kekal di bilik Silver Arrows.
Leave a Reply