CAT kereta biasanya akan mengalami degradasi selepas beberapa tahun digunakan yang mula nampak kusam.
Pemilik kereta digalakkan mengambil langkah pencegahan awal bagi memastikan kondisi cat nampak baharu dan cantik supaya nilai jual semula kereta tinggi. Ini kerana kondisi cat kereta menjadi antara aspek penting bagi mereka yang mahu membeli kereta terpakai.
Pemandu perlu cuba mengelak kereta daripada terkena tompokan najis burung, getah pokok atau cucian kereta yang tidak memuaskan. Jadi ada beberapa tip yang boleh dilakukan untuk melindungi cat kereta anda.
1. Najis Burung
Kadangkala nasib tidak berapa baik apabila najis burung jatuh menimpa atas bumbung kereta atau badan kereta.
Najis burung mampu mengakis dan jika dibiarkan lama mampu menanggalkan cat. Jadi bagi mengelakkan kerosakan cat lebih serius, apa perlu anda buat adalah mencuci najis burung secepat mungkin dan jangan dibiarkan hingga beberapa hari dengan alasan mahu menunggu masa menghantar ke kedai cuci kereta.
2. Getah Pokok
Getah pokok yang melekat dan mengering atas permukaan kereta juga dapat merosakkan cat. Walaupun kekas kakisan tidak sekuat najis burung, tetapi tetap perlu dibersihkan segera. Anda juga mampu menyelamatkan cat dengan cuba untuk tidak meletakkan kereta bawah pokok.
3. Cucian Kereta Sempurna
Kotoran boleh menyebabkan kerosakan pada cat kereta. Jika tidak dibersihkan segera memang boleh memudaratkan fizikal kereta dalam jangka masa panjang seperti masalah kakisan dan karat.
Jika musim hujan, anda digalakkan mencuci kereta jika kotor. Ini kerana kandungan hujan mempunyai asid yang boleh mengakis lapisan cat pelindung (clear coat) dan juga kemasan krom pada kereta. Boleh gunakan agen pencuci yang lembut dengan nilai pH rendah dan digosok menggunakan span, berus atau kain lembut (jenis mikrofiber) dan bersih.
Lebih baik jika anda dapatkan perkhidmatan cuci kereta profesional.
4. Gilap dan Lilin (Polish and Wax)
Selepas lama digunakan, cat kereta tidak lagi berkilat dan berkilau seperti baru dibeli. Anda boleh melihat sendiri kesan calar halus pada kereta.
Jika perasan kesan itu, sudah tiba masa kereta anda digilap dan dililinkan. Ini kerana proses menggilap dapat menghilangkan kesan minyak, gris, lumpur dan calar halus pada badan kereta. Bahan digunakan pula mengandungi bahan kimia mikro yang mampu membersihkan permukaan cat dengan lembut.
Proses melilinkan kereta juga mampu mengekalkan kesegaran cat dan melindungi daripada kondisi cuaca tidak menentu. Analogi mudah, menggilap dan melilin kereta bolehlah diibaratkan seperti rawatan penjagaan muka yang kita amalkan.
Cat kereta mampu bertahan lama jika anda melakukan langkah pencegahan awal dengan mengikut tip yang tepat.
BACA >>> #RetroAuto: Sejarah Kemasan Krom dan Cat Kereta yang Perlu Anda Tahu
BACA >>> #ApaNakBuat: Mana Satu Lebih Berbaloi, Wrap atau Cat Kereta?
proton branch says
kena rajin polish.. betul pendapat tuan juga