SEORANG 'transporter' remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyeludup 25 warga Myanmar yang ditemukan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire, awal bulan ini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berusia 17 tahun itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Azura Alwi kerana kes tertuduh melibatkan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) yang perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
BACA >>> Polis Tahan 'Transporter Remaja' Seludup 25 PATI Guna Vellfire
Tertuduh didakwa bersama seorang lagi suspek, yang masih bebas, atas kesalahan dilakukan di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching, Sentul di Kuala Lumpur pada 12.05 tengah hari, 2 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika disabit bersalah boleh dipenjara maksimum 20 tahun, atau didenda, atau kedua-dua sekali.
Bagaimanapun, media tidak dibenarkan masuk mahkamah kerana kes melibatkan pesalah juvana dengan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Zuraidi Zulkifli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan izin memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
Pada 2 Ogos lalu, polis menahan remaja lelaki berusia 17 tahun yang mengambil upah mengangkut 25 pendatang tanpa izin (PATI) ke ibu negara berikutan penahanan sebuah MPV Vellfire di Sentul. MPV berkenaan ditahan sepasukan anggota polis selepas didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.
Remaja itu enggan menghentikan kenderaan apabila diarahkan polis dengan bertindak melarikan diri, tetapi terbabas selepas terlanggar sebuah motosikal ditunggang seorang anggota polis bertugas, termasuk tiga kereta orang awam. Siasatan mendapati remaja dan seorang lagi rakannya, yang melarikan diri, membawa semua PATI itu dengan bayaran RM6,000 seorang dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur.
BACA >>> 6 PATI, termasuk 2 Budak Maut Dilanggar ketika Seberang Lebuh Raya
BACA >>> Basikal Syok Turun Bukit Sampai Terlanggar Vellfire, Netizen Pertikai Salah Siapa?
SUMBER: Bernama
Leave a Reply