MASA dinanti-nanti bakal tiba. Honda BR-V sah akan dilancarkan pada 5 Januari 2017.
Tempahan bagi model crossover 7-tempat duduk itu juga sudah dibuka di kesemua 88 pengedar sah Honda pada awal Disember lalu.
Yang pasti kehadiran Honda BR-V bakal 'menggerunkan' pesaingnya lain berikutan harga jualan yang dikatakan lebih mampu milik dan paling murah dalam segmennya.
PRESTASI & BERGAYA
Honda BR-V akan dipadankan dengan enjin 1.5L i-VTEC dengan kuasa 118hp meletakkan BR-V mengungguli pesaing lain dari segi prestasi.
Manakala desain Solid Wing Face sebagai signatur Honda dan rel bumbung nyata menyerlahkan penampilan BR-V yang penuh gaya dan berani.
Pemandu dapat menikmati posisi pemanduan tinggi, termasuk jarak dasar kereta 210mm, tertinggi dalam segmennya. Rekaan eksterior menampilkan rupa trendy seperti lampu siang (DRL) dan rim aloi dua tona 16-inci serta dilengkapi ciri praktikal seperti kamera undur dan sensor.
Ruang but standard berkeluasan 223L dan meningkat kepada 539L apabila tempat duduk baris ketiga dilipat. Menariknya, kerusi BR-V memang direka khas untuk pelbagai konfigurasi yang dapat diatur mengikut kesesuaian pengguna.
Kerusi baris kedua pula boleh dilipat semudah menggunakan satu sentuhan butang, One Touch Tit & Tumble dalam konfigurasi 60:40, manakala baris ketiga 50:50 dan dapat dilipat habis. Keselesaan pengguna pula dipertingkat menerusi kemasan material kulit pada tempat duduk dan penyaman udara belakang. Bukankah itu yang dimahukan seisi keluarga anda?
HARGA
Isu harga adalah paling penting. Katanya Honda BR-V bakal dijual pada harga bawah RM95,000. Tetapi ada juga berita yang menyatakan Honda BR-V akan dijual bermula RM85,000. Wah, pasti akan jadi lebih menarik jika berita berkenaan adalah benar.
Apa-apapun, mari kita nantikan kehadiran Honda BR-V ke pasaran Malaysia pada 5 Januari depan.
Leave a Reply