SEMUA individu yang sudah lengkap menerima dos suntikan vaksin Covid-19 di negeri berstatus Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk menjamu selera di kedai atau restoran bermula esok.
Kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi itu diumum Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebentar tadi.
"Saya ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan lebih baik.
"Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap," tambahnya.
Ibu bapa yang membawa anak berumur bawah 17 tahun semasa dine-in perlu patuh kepada semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sukan dan Rekreasi
- Aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.
- Dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.
- Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.
- Perkelahan dan perkhemahan juga dibenarkan. Penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.
Pasar Malam dan Pasar Minggu
- Pihak penguat kuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut sudah menerima vaksinasi lengkap.
Ini Maksud Lengkap Dos Vaksin
Individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:
- Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Contohnya: Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah sudah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.
- Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Contohnya Johnson&Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah sudah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.
Leave a Reply