BINTANG bola sepak dunia, David Beckham dilaporkan membeli 10 peratus pegangan saham Lunaz, iaitu syarikat restorasi kereta dan firma elektrifikasi Britain. Ini salah satu pelaburan luas dilakukan bekas kapten England itu membabitkan e-sukan, bola sepak dan kini automotif.
Beckham melabur melalui syarikat pelaburannya, DB Ventures dan perkara itu sudah pun diumumkan minggu lalu, tetapi nilai pelaburan tidak dinyatakan.
BACA >>> Beckham Dilarang Memandu 6 Bulan Sebab Guna Telefon Sambil Memandu
Dalam satu kenyataan, Beckham mengatakan dia tertarik dengan kerja syarikat itu yang menukar kereta klasik menjadi pengangkutan elektrifikasi. Justeru dia kini akan menyertai pengasas Lunaz dan beberapa entiti lain sebagai pemegang saham bersama.
Lunaz ditubuhkan David Lorenz pada 2018 yang menjalankan operasi membikin semula trenkuasa kereta klasik seperti Rolls-Royce, Jaguar, Range Rover dan Bentley menjadi enjin elektrik.
Pada masa sama, syarikat itu juga melakukan restorasi pada keseluruhan badan kereta bagi mengembalikan semula kecantikan kereta klasik berkenaan. Harga keseluruhan proses tersebut boleh menelan belanja hingga AS$600,000 (RM2.4 juta) bergantung jenis kereta.
Selain Lunaz, Beckham, 46, juga menjadi pemilik beberapa syarikat dan entiti lain. Tahun lalu, dia baru saja menjadi pemilik bersama akademi sukan virtual, Guild Esports, dan turut memiliki pasukan bola sepak Inter Miami yang bersaing dalam liga premier di Amerika Syarikat, Major League Soccer (MLS).
BACA >>> Pakar: Kereta Elektrik Perlu Pandu Jauh, Dimiliki Lama Sebagai Bukti Kenderaan Hijau
BACA >>> Kereta Elektrik Hilang Kuasa Mengejut, NHTSA Siasat Porsche Taycan
SUMBER: Autoblog.com
Leave a Reply