AKRAPOVIC menyambut ulang tahun ke-30 dengan melancarkan siri sistem ekzos edisi terhad khas untuk model superbike satu liter Kawasaki.
Hanya 30 unit sistem ekzos Evolution Line (Titanium) 30th Anniversary ditawarkan untuk Kawasaki Ninja ZX-10R dan Ninja ZX-10RR yang membantu melancarkan lagi ‘pernafasan’ enjin dengan nada deruman lebih agresif.
Setiap set sistem ekzos dibuat sepenuhnya menggunakan material titanium dengan mufler hitam. Hujung mufler daripada gentian karbon. Selain nombor siri pada setiap mufler yang dibeli, pembeli juga diberikan sijil khas.
TRIVIA
- Akrapovic ialah jenama diasaskan pelumba motosikal, Igor Akrapovic pada 1991 di Slovenia yang mendapati ekzos sedia ada tidak sesuai untuk sukan lumba. Semua kerja binaan dibuat di bengkel Igor.
- Pada 1994, Igor mula mencipta set sistem ekzos hanya untuk pasukan lumba yang mana keputusan memberangsangkan dicapai jentera lumba dengan unit Akrapovic menarik perhatian banyak pasukan lain dalam Pro Superbike Championship.
- Kawasaki Deutschland kemudian menjalinkan usahasama dengan Akrapovic dan sistem ekzos Igor mula menambah baik jentera lumba pasukan pengilang.
- Pada 1996, Akrapovic mendapat kelulusan pertama daripada Kerajaan untuk produk mufler. Pertubuhan Pemeriksaan Teknikal (TUV) Jerman menguji mufler Akrapovic pada 17 motosikal berbeza sebelum memberi kelulusan secara rasmi.
- Akrapovic mencatatkan kemenangan pertama dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) pada 1997 menerusi pelumba Akira Yanagawa daripada Kawasaki Factory Team.
- Pada 2005, Akrapovic mengubah industri sistem ekzos dengan memperkenalkan mufler heksagon pertama yang menjadi bentuk signatur jenama itu hingga kini.
- Pada 2015, Akrapovic mencatat kemenangan kejuaraan dunia ke-100 menerusi Jorge Lorenzo (Movistar Yamaha MotoGP). Sehingga kini, ada 140 kejuaraan dunia dimenangi dengan menggunakan sistem ekzos Akrapovic.
SUMBER: MotorPasion| Akrapovic
Leave a Reply