SEBAGAI pemandu, palam pencucuh (spark plug) ialah sejenis peranti kenderaan yang biasa kita dengar apabila diberikan penjelasan mengenai penyelenggaraan kereta di pusat servis.
Palam pencucuh tidaklah mahal, tetapi kalau sudah kena tukar satu set, boleh tahan juga harganya. Sekarang mari kita kenal serba sikit mengenai peranti berkenaan.
Semasa belajar automotif dulu, memang pening sekejap hendak hadam walaupun sudah kenal komponen itu sejak kecil lagi. Di kampung dulu, memang selalu sangat melenjan motosikal masuk ladang, jadi memang selalulah kena tukar palam pencucuh sebab macam-macam alasan. Minyak overflow-lah, spark tak adalah, dan kerap juga gosokkan dengan kertas pasir untuk bersihkan sebelum buat ujian, nak tahu ada spark ke tak?
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Sistem Pemasaan Nyalaan Enjin yang Perlu Anda Tahu
Berdasarkan teori, cara palam pencucuh beroperasi sebenarnya mudah difahami. Peranti kecil ini akan memaksa tenaga elektrik pada lengkungan besi (elektrod) melintasi ruang jurang itu yang kelihatan seperti kilat atau percikan api. Tenaga elektrik itu pula perlu berada pada tahap voltan sangat tinggi supaya dapat bergerak melintasi ruang jurang tersebut, sekali gus menghasilkan percikan api yang baik.
Bacaan voltan palam pencucuh boleh dianggarkan dalam julat 40,000-100,000 volt. Memang tinggi bacaan voltan tersebut, jadi tidak hairanlah kenapa kawan kita boleh menjerit kalau palam pencucuh itu sengaja dicucuhkan ke tangan mereka, kononnya hendak lihat ada percikan api atau tidak.
Pesanan kami, elakkan ini berlaku, sayangilah rakan kita yang bersusah payah memijak engkol untuk menghidupkan motosikal kita.
KRITERIA PALAM PENCUCUH
Apa boleh dilakukan palam pencucuh amat berbahaya dan kawalan terhadap voltan sangat diperlukan. Jadi semasa tercipta peranti itu, kriteria penting adalah pengasingan laluan pada voltan tinggi untuk mengalir ke arah elektrod untuk voltan melompat antara ruang sebelum mengalir ke blok enjin dan dinyahcaskan.
Palam pencucuh juga perlu bertahan daripada kondisi panas dan tekanan lampau dalam kebuk silinder. Rekabentuknya pula dibuat untuk mengelak berlaku pembentukan sebarang kerak pada elektrod akibat lebihan pembakaran bahan campuran minyak.
Lapisan seramik digunakan sebagai penebat (insulator) voltan tinggi yang mengalir hingga elektrod. Ini bagi memastikan percikan api hanya berlaku hujung elektrod dan bukan bahagian lain. Selain itu, bahan tersebut (seramik) juga ada tugas lain, iaitu membantu membakar lebihan minyak supaya tidak berlaku pembentukan kerak pada palam pencucuh.
Seramik dipilih kerana bahan itu bukan pengalir haba yang baik. Jadi, permukaan palam pencucuh akan sentiasa panas sepanjang operasi. Haba itu yang akan membantu membakar lebihan minyak daripada melekat pada elektrod. Kepanasan dihasilkan memerlukan kita memakai sarung tangan ketika hendak menukar palam pencucuh baharu.
BACA >>> #TahukahAnda: Perlukah Palam Pencucuh Perlumbaan untuk Motosikal Harian?
PERBEZAAN PALAM PENCUCUH
Bagi menghuraikan perbezaan palam pencucuh, kita perlu menumpukan kepada jenis panas atau sejuk.
Ada beberapa model kenderaan memerlukan palam panas yang direka dengan lapisan bahan seramik lebih besar dan ada kawasan sentuhan kecil dengan elektrod. Ini mengurangkan pindahan haba daripada lapisan seramik yang menyebabkan peranti itu beroperasi lebih panas dan membakar lebih banyak lebihan minyak.
Palam pencucuh sejuk pula direka untuk memiliki lebih banyak kawasan bersentuhan dan akan beroperasi lebih sejuk.
Pengeluar kereta akan memilih jenis palam bersuhu yang paling sesuai dengan sesebuah model. Kereta prestasi tinggi kebiasaannya menghasilkan lebih banyak haba yang memerlukan palam jenis sejuk. Jika palam pencucuh jadi sangat panas, situasi itu boleh menyebabkan bahan api mula terbakar sebelum percikan api berlaku. Ini sangat penting untuk mengekalkan jenis palam yang betul untuk kereta. Apabila bahan api terbakar awal, maksudnya pemasaan nyalaan bahan api adalah tidak bagus yang menyebabkan kuasa dihasilkan tidak mencukupi.
KOIL SISTEM NYALAAN
Palam pencucuh mengalirkan voltan tinggi untuk mencetuskan percikan api. Voltan tinggi itu pula dihasilkan daripada satu koil wayar tanpa penebat dalam satu silinder logam. Rekabentuk peranti ini sangat mudah difahami. Ia dikenali sebagai transformer voltan tinggi, terdiri daripada dua koil wayar.
Satu koil dipanggil koil utama (primary coil) dan dibalut koil kedua (secondary coil). Koil kedua ada ratusan belitan (winding) berbanding koil utama. Arus akan mengalir daripada bateri melalui koil utama, dan boleh dilihat seakan satu koil elektromagnet yang turut berfungsi sebagai pencetus voltan.
Operasi utama sistem ini berlaku apabila arus dalam koil utama tiba-tiba terhenti pada satu titik. Ini menyebabkan medan magnet pada koil utama runtuh beberapa kali secara berkala. Operasi koil kedua pula menggunakan kekuatan dan perubahan medan magnet dalam sistem tersebut.
Medan magnet itu mencetuskan arus elektrik sangat tinggi (hingga 100,000 volt) dalam belitan kerana bilangan koil wayar dalam koil kedua. Kemudian, koil tersebut akan menghantar arus elektrik kepada distributor melalui wayar arus tinggi dengan penebat sangat bagus.
Ada lagi satu peranti penting untuk keseluruhan sistem nyalaan (ignition system) kenderaan, iaitu distributor (pengedar arus). Alat ini berfungsi mengedarkan arus elektrik kepada setiap palam pencucuh dalam silinder. Fungsi dan jenis peranti agak banyak yang mana akan dibincangkan dalam artikel akan datang.
Justeru, apa yang boleh difahami daripada artikel ini adalah palam pencucuh menghasilkan percikan api pada hujung elektrod daripada voltan elektrik tinggi dan ia terhasil daripada koil dengan ratusan belitan wayar. Jika tiada percikan api daripada palam pencucuh, bolehlah mula tukar peranti baharu, atau periksa koil sistem nyalaan.
BACA >>> #TahukahAnda: 6 Tip Bezakan Palam Pencucuh Tulen atau Palsu
Leave a Reply